Senarai Blog Saya

09 September 2008

Emak

Saya pernah mengabadikan wajah emak di dalam Berita Minggu
Dalam kehidupan emak adalah tempat saya bernaung. Maklumlah ayah sudah tiada. Tapi kata mak (yang sudah pernah kematian suami dua kali. Pertama ayah kepada kak Timah saya (kini di Keluang, Johor). Kedua ayah saya.) Kematian ayah tidak menjadi masalah besar sebab dia mempunyai anak lelaki. Tapi semasa kematian suami yang pertama dia menjadi nanar tidak tentu pasal.

Saya menjalani kehidupan bersama emak yang menoreh getah, mengambil upah menanam padi dan menyabit padi. Itu jika musim padi. Sekiranya luar musim padi, jawatan hakiki mak ialah Penoreh Getah. Saya tabik kepada profesion Penoreh Getah kerana dengan jawatan itulah mak dapat menyekolahkan saya biarpun tidak setinggi mana. Malahan saya fikir masih ramai luar sana yang merupakan anak-anak penoreh getah sudah berjaya dalam kehidupan.

Menoreh getah kebun orang secara pawah. Dapat 8 keping tuan kebun dapat empat keping. Peristiwa yang tidak dapat saya lupa bila suatu hari hendak pergi menjual getah keping, getah sudah tiada.Rupa-rupanya anak tuan kebun sudah jual sekali dengan bahagian emak. Naik angin juga saya. Tapi akhirnya dapat juga bahagian emak.

Saya memang anak kemajaan mak. Al maklum anak seorang tunggal lelaki pula tu. Namun syukur saya tidak alpa kerana tanpa apa-apa nasihatnya yang buta huruf itu saya dapat menjaga maruah seorang emak.

Tahun 1977 merupakan dugaan buat emak apabila saya menjalani kursus selama 6 bulan di Pusat Latihan Belia Negara Peretak. Saya tinggalkan dia keseorangan jauh di pedalaman Kedah. Tanpa talian telefon, tanpa mengirimkan surat. Jika saya kirimkan surat pun emak tak tahu membaca. Dia hanya tahu membaca Al Quran. Tulisan jawi katanya "tak dapat baca sebab tak ada tanda".

Allah Maha Pemurah, sepeninggalan saya ada jiran mejadi temannya. Tapi rumah orang kampung bukan rapat-rapat seperti orang kat taman perumahan. Abang (kini Hj) Wahid dan isterinya menjadi temannya. Seorang lagi kawan saya Mohamad Samah (kini Hj). Merekalah teman masa ketiadaan saya selama 6 bulan.

Patutlah dalam kisah Si Tenggang emaknya bukan main suka bila mendapat tahu anaknya pulang ke kampung. Rupa-rupanya ibu itu bukan nakkan harta anaknya tetapi ingin melepas kerinduaan yang amat sangat terhadap Si Tenggang!

Justeru itu setelah saya mengetahui perasaan sebegitu maka saya tidak sampai hati untuk menguriskan hati seorang emak.

1 ulasan:

zie berkata...

salam..Mohamad (Mahamad Samah) pak cik saya....