Senarai Blog Saya

08 November 2017

Perajalanan malam yang lama

Pada tahun 1980 ibu saya jatuh sakit ketika baru 2 bulan bekerja di UKM. Kerana nak cepat sampai ke Kedah, saya mengambil teksi dari KL ke Ipoh. Jam 1 pagi dari Ipoh ke utara. Masa tu lebuhraya Utara Selatan belum ada. Pastinya jalan lama adalah laluan utama ketika itu. Sampai di Perak penumpang terakhir turun. Tinggallah saya seorang bersama pemandu teksi dalam kegelapan pagi sekitar jam 2 hingga 5 pagi.........

Awal Januari 1980:

2.00 petang: Razali Jaman (abang) telah memberi sepucuk Telegram yang berbunyi "Ibu saudara sakit. Balik segera". Tertera cop Jabatan Telekom Pulau Pinang.

3.00 petang: Saya mengemas kain baju di rumah setinggan Kampung Kolam Air Kuala Lumpur. Saya meberitahu dengan ringkas kepada Cek Lah bahawa harus balik Kedah petang itu juga.
3.30 petang: Sesampai di perhentian teksi Pudu Raya saya cuba berunding untuk balik ke uata. Namun tiada teksi perjalanan terus. Atas cadangan pemandu-pemandu teksi kat situ saya mengambil teksi ke Ipoh. Tambang dah lupa, tapi masih murah. Namun dengan gaji yang masih kecil waktu tu teksi agak mahal baut saya.

Kuala Lumpur (KL) jem waktu itu. Maklumlah untuk keluar dari KL perlu melalui jalan Ipoh. Jalan Kuching belum ada lagi jika tak silap saya. Menyusuri Jalan Ipoh saya melalui beberapa bandar dan pekan. Antaranya Rawang, Kuala Kubuh Bahru, Tanjung Malim dan sebagainya.

Usia 21 tahun masih muda. Usia 21 tahun gaji kecil, gaji belum cukup untuk naik teksi. Namun kerana desakan kerana ibu sedang sakit maka mahu tak mahu kena balik juga. 

Kalau ada yang bertanya kena saya perlu naik teksi....jawabnya desakan untuk melihat ibu yang sedang sakit wang dan apa saja tidak saya fikirkan lagi. Nak tunggu bas jam 9 atau 10 malam baru ada. Ibu wajib saya lihat dengan segera nun jauh di 400 kilometer dari KL.

Sesampai di Ipoh, saya mencari teksi. Ketika itu jam sekitar 1 pagi. Oh, jiwa bertambah kacau. Ipoh tempat orang. Tiada saudara mara di situ. Kepala bercelaru. Akhirnya saya mengambil keputusan mengisap rokok Gudang Garam Made In Indonesia. Mujur tak hisap ganja!

Syukur sekitar jam 2 pagi saya dapat teksi untuk ke Butterworth Penang. Harga tak ingat. Tapi masih mahal bagi seorang Jurufoto UKM bergaji $295 sebulan. Pemandu teksi seorang lelaki berbangsa Cina dalam lingkungan usia 50an.

Semua penumpang teksi itu berbangsa Cina. Ahhh saya lupakan bangsa. Masa tu yang penting ibu perlu diziarah segera. Sedangkan dalam kepala terfikir jangan Allah menjemput ke pangkuan-Nya sudahlah. Saya berdoa. Ketika di dalam teksi pemandu dan penumpang teksi berbual rancak dalam bahasa ibunda mereka. Kadang-kadang terfikir kalau saya di apa-apakan oleh mereka habislah saya. Namun saya berfikir positif, ah kami kan orang Malaysia.....

Rupa-rupanya teksi tersebut tidak membawa penumpang semuanya ke Butterworth. Penumpang terakhir saya tak ingat turun kat mana tetapi saya yakin sekitar Taiping. Selepas itu tinggallah saya seorang sahaja yang dibawa oleh teksi itu hingga ke perhentian teksi Butterworth.

Pemuda Cina yang turun diTaiping mempelawa saya duduk kat bahagian depan sebelah pemandu. Saya enggan kerana memikirkan mata mengantuk dan jika duduk di belakang lebih selesa. Tinggallah saya seorang bersama pemandu teksi.

Masa tu muka saya cengkong. Badan kurus. Rambut sedikit panjang.Ada gaya penagih dadah. Saya dapat merasakan pemandu teksi itu cuak dengan saya yang duduk kat belakang. Suaranya agak bergegar bila melayan saya bersembang. Setelah saya dapat merasai pemandu teksi ini macam curiga, saya memilih topik yang boleh meyakinkan beliau. Akhirnya pemandu tu tenteram apabila saya memberitahu balik kampung nak lihat ibu yang sedang sakit.

Sekitar jam 5.00 pagi saya tiba di perhentian teksi Butterworth. Pemandu teksi itu dengan gembira membantu saya untuk mendapatkan sebuah teksi untuk ke rumah Paksu saya di Kampung Jarak. Nampak wajah pemandu teksi itu seperti lega selepas selamat tiba di  perhentian teksi Butterworth.
Saya menyambung dengan teksi ketiga untuk ke rumah Paksu saya, adik ibu saya.

Perjalanan balik utara jadi lebih 12 jam. Jika nak ikutkan kalau balik dengan bas pun boleh. Cuma atas desakan perasaan maka perjalanan dengan teksi menjadi pilihan saya. Bayangkan seksanya perjalanan ketika itu tanpa lebuhraya. Jika sekarangdalam 5 jam sudah boleh sampai ke utara tanahair.

Saya bersyukur. Ibu selamat dan dapat saya menjaganya selepas itu kerana membawanya datang ke KL dan kemudian ke Bangi. Ibu meninggal dunia pada tahun 1990 di Kampung Datuk Abu Bakar Baginda.

10 Februari 2014

Kursus fotografi dalam perkhidmatan

Era fotografi analog tidak ramai orang menganjurkan kursus. Semasa itu kalau ada mesti syarikat seperti Kodak, Fuji, Iford, Eng Tong sahaja yang menganjurkannya. Kalau persatuan hanyalah ASFON.  ASFON waktu itu masih bergerak di Kuala Lumpur. tidak seperti sekarang mempunyai beberapa cawangan. Manakala syarikat swasta ialah Reduan Fotomedia ( pemiliknya Allahyarham Pak Wan ) dan Raja Harun Reduan. Dalam perkara ini Pak Wan lebih gigih dan saya lihat anak muridnya ramai.

Saya dan Khalil sering turut serta dalam siri-siri kursus ini. Oleh kerana zaman itu tidak ramai orang Melayu yang menjadi jurufoto maka kami dari kalangan kakitangan kerajaan bernasib baik mendapat undangan dari mereka. Fotografi analog memamglah azab, namun demi kerjaya semua orang berusahalah juga untuk belajar.

Nama-nama seperti Hamzah Hurmin (NST), Salleh Osman (NST), Ariff Azahari (NST) adalah penceramah yang pernah saya ikuti kursus mereka. Orang mantap dan berpengalaman sahaja yang berani memberikan ceramah ketika itu. Hasil bimbingan mereka memang berbaloi kerana mereka mempunyai pengalaman yang luas di media cetak. Begitu juga Ibrahim Ahmad ( Muzium Negara  KL ), Ahmad Nayan (Petronas) adalah juga pembimbing yang amat berkalibar dalam menyampaikan ceramah.

kalau diawal tadi saya menyebut nama-nama syarikat pembekal fotografi, ia adalah kerana syarikat ini memperkenalkan produk baharu. Oleh itu saya adalah antara orang bernasib baik dapat ikut serta. Di sinilah peranan Dr Mohamed Omar selaku ketua akan membawa atau menyuruh saya dan Khalil ikut serta.

Saya Haji Khalil dan Dr Mohamed Omar.

Penghujung tahun 1979 saya memulakan tugas di UKM. Ketika ini UKM, khususnya Fakulti Sains sedang mengambil kakitangan baharu. Paling ramai saya lihat pengambilan Pembantu Makmal. Oleh kerana saya bertugas di makmal, maka saya pun dah jadi klon Pembantu Makmal. Orang ingat saya Pembantu Makmal.

Kawan saya Mohd Khalil Alwi (Haji, sekarang dah bersara). Tinggal dalam makmal yang bernama Bilik Gelap. Lain macam saja bunyinya. tetapi ia adalah sebati dengan jawatan jurufoto. Sebab ketika itu tugas seorang jurufoto mesti tahu dan mahir mencuci filem (proses) dan mencetak gambar Hitam Putih atau Warna. Justeru tinggal dan bekerja dalam bilik gelap bukanlah perkara pelik.

Mula-mula saya fikir menjadi jurufoto di sini menarik, tetapi rupa-rupanya gambar yang saya kena rakam adalah mengenai subjek sains. Masak saya dibuatnya. Spesimen seperti tikus putih, arnab yang dijadikan bahan kajian oleh pelajar dan pensyarah adalah bahan yang harus saya rakam. Manakala merakam gambar majlis agak kurang. Sebab itu ketika skim gaji kabinet, Pembantu Makmal juga bertugas dalam kerjaya Jurufoto. Tiada beza. Malahan skim gaji saya lebih rendah daripada seorang Pembantu Makmal.

Oleh kerana sudah dikatakan rezeki, mahu tidak mahu atas minat yang mendalam untuk menjadi Jurufoto, maka saya lupakan dan terus belajar dari abang Khalil yang saya amat rapat dengan beliau sehingga dia bersara.

Kami tidak banyak menggunakan peralatan yang canggih. Bahan terbuang merupakan alat yang kami gunakan untuk merakam gambar selain sebuah kamera dan lensa mikro. Namun Haji Khalil lebih mahir merakamkan gambar dari Mikroskop. Walaupun pada waktu itu, mikroskop analog, namun hasil karya Haji Khalil amat bermutu. Beliau amat mahir dalam kerja-kerja ini kerana ketua kami seorang pensyarah dalam bidang Mikrobiologi yang juga mahir dalam bidang fotografi.

Prof Dr Mohamed Omar yang telah bersara dari UKM banyak membimbing saya dan Haji Khalil dalam merealisasikan hal ini. Banyak buku rujukan fotografi diberikan kepada kami, termasuklah majalah You anda Your Camera yang amat terkenal pada ketika itu.


30 Julai 2013

Lokasi tempat kerja

Seksyen 16 Petaling Jaya (PJ) adalah tempat saya bertugas. Di sini terletaknya komplek makmal Fakulti Sains. Kawasan makmal ini lebih dikenali sebagai Kolej Islam kerana ia pernah menempatkan Kolej Islam sebelum berpindah ke Klang, Selangor. Walaupun di Jalan Pantai Baru KL terletak pejabat Dekan, Ketua-Ketua Jabatan namun terdapat juga makmal di sana. Namun di PJ terdapat Mikrobiologi, Fizik, Kimia, Zoologi, Botani. 

Nama-nama seperti Kasim Rejab (Allahyarham), Aziz, Razali Jaman, Rahim Othman, Md Zain Sood, Aziz Ramdan, Mimi Nora, Habsah Hassan, Mokhtar Hassan, Yusoff (Allahyarham), Haji Dali Sharif, Ripin Sinin (dikenali sebagai Wak Ipin, Allahyarham) adalah nama-nama Pembantu Makmal veteran yang diperkenalkan kepada saya oleh Khalil. Menariknya ketika saya masuk kerja pada tahun 1979, Khalil sedang bercinta dengan Mimi Nora.

Kakitangan makmal yang saya senaraikan diatas adalah warga UKM peringkat awal yang menjadi perintis dalam pembukaan makmal sains di UKM. Sebagai makluman, Fakulti Sains adalah fakulti pertama yang diwujudkan semasa penubuhan UKM pada 18 Mei 1970. UKM dibangunkan dengan jerit perit azam orang Melayu oleh itu ketika penubuhan tiga fakulti menjadi perintis, Fakulti Sains, Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Sains Kemasyarakatan & Kemanusiaan (kini Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan).Lihat rujukan di sini

Komplek makmal UKM berkongsi dengan Maktab Perguruan Islam-MPI (Kini Institut Perguruan Islam di Bangi). Ketika saya masuk kerja Pengarahnya ada Tan Sri Abdul Hamid Othman (Allahyarham). Pernah Md Zain (Haji) Pembantu Makmal Prasitologi memberitahu saya, "haaa, tu pengarah MPI...orang Sik". Saya hanya senyum dan tidak pernah bertemu dengan beliau, almaklumlah Tan Sri Hamid manalah kenal dengan saya. Tapi saya sering melihat beliau dengan penampilan seorang guru. Tan Sri Hamid kemudiannya menjadi Ahli Parlimen Sik, Kedah. Lihat rujukan di sini.

Berhadapan komplek makmal sains terdapat Makmal Perubatan Kementerian Kesihatan. Oleh itu kawasan kami bertugas meriah dengan kakitangan kerajaan termasuk UKM. Kemeriahan ini lebih terasa kerana di  kawasan makmal sains terdapat Masjid Ar Rahman yang menjadi tempat bersolat ahli jemaah di sekitarnya.

Kampung Melayu Batu Caves

Pada tahun 1980, saya membuat keputusan membawa ibu tinggal di KL. Pastinya beliau suka mahu jadi orang KL. Tetapi dengan gaji yang tidak cukup lumayan, saya membuat keputusan tinggal di sebuah perkampungan melayu dekat Batu Caves. Rumah lot yang bina oleh tuan rumah dan sewanya cuma $70 sahaja. Masih mahal. Tolak gaji $295 masih berbaki 225. Habis tu...KWSP kena potong. Namun memang benar kata-kata ustaz, menjaga ibu Allah beri rezeki yang cukup.

Saya masih takut nak tinggal di Petaling Jaya, kerana saya tidak tahu di mana ada perkampungan Melayu. Saya melakukan perkara yang membazir. Tinggal di Batu Caves kerja di PJ. Kena naik bas dua kali. Satu bas mini ke KL dan naik bas ke Seksyen 16 PJ. Mujur masa KL tidaklah sesak seperti sekarang. Cuma kalau naik bas mini yang rendah, pastinya sakit tengkok dan pinggang. Demi ibu saya tetap tinggal di Batu Caves. Kebetulan saya ada seorang kakak sepupu yang tinggal di Kampung Laksamana. Jika ibu sakit demam ada keluarga boleh jengah.

Senarai tugas di Fakulti Sains

Jurugambar di UKM. Ada orang bertanya ada ke jawatan itu? Mereka pelik UKM mempunyai kerjaya itu. Yalah, waktu itu kalau sebut Jurugambar pastinya di surat kabar, setesen TV. Jadi bila saya sebut kerja di UKM orang pun pelik. UKM lebih terkenal dengan kerjaya pensyarah. Namun saya tetap seronok kalau orang bertanya itulah jawatan saya.

Tugas utama saya ketika memulakan kerja di UKM ialah merakam gambar projek penyelidikan pensyarah dan pelajar tahun akhir. Saya pun ketika Khalil memberitahu tugas-tugas itu baru saya faham. Saya tidak banyak merakam gambar majlis. Oleh itu tugasnya tidaklah sehebat mana maka yang yang penting saya ada gaji! Bukan mudah kan? Saya bersyukur dengan tugas itu. Masuk makmal dan keluar makmal. Ada kalanya masuk sungai, masuk hutan. Akhirnya saya dikenali sebagai Jurugambar Sains. Mana tidaknya hasil kerja saya banyak diterbitkan dalam jurnal sains.

Khalil banyak membantu saya dengan mengajar bagaimana merakam gambar-gambar di makmal. Kami memiliki kelengkapan yang terhad. Maklumlah UKM baru berusia lapan tahun maka peralatan makmal lebih di utamakan. Ketua saya seorang pensyarah, namanya Dr Mohamad Omar. Seorang pensyarah Mikrobiologi yang mahir dalam fotografi sains. Pakar dalam Mikroskop dan Elektron Mikroskop.

Dr Mohamad Omar (bersara UKM sebagai Profesor) banyak memberikan buku fotografi dari koleksinya. Majalah You and Your Camera adalah majalah yang dibeli oleh Dr Mohamad. Majalah itu menjadi rujukan saya dan Khalil.

Saya membantu Khalil memeroses filem dan cetak gambar hitam putih. Kerja yang amat menarik. Oleh kerana saya telah belajar ketika di IKBN Peretak, maka tiada masalah untuk melakukannya.

Lapor diri di UKM Bangi

5 November 1979 saya meninggalkan Kampung Sungai Batang dengan penuh yakin. Saya tinggalkan seorang ibu di sana dengan harapan setelah mantap di Kuala Lumpu ibu akan dibawa bersama. Memang untuk saya akui itu adalah satu perkara yang sukar dilakukan kerana ibu tinggal seorang diri dengan mengharapkan abang Wahid sahaja melihatnya. Apakan daya dengan gaji hanya 295 ringgit saya fikir masih belum mampu untuk membawa ibu tinggal bersama. Kalau itu adalah satu tindakan yang tidak patut maka saya akui tetapi apakan daya saya korbankan ibu demi masa depan. Ibu saya tinggalkan sejauh lebih 400 kilometer dari KL. Oh, siapa tahu perasaan saya. Hanya Allah sahaja yang menetukan takdir untuk saya.
Ketika saya melapor diri
Masjid UKM sedang dibina

Setelah melapurkan diri di pejabat Pendaftar UKM dan diberikan no pekerja (UKM) 03308 maka sahlah saya seorang Jurugambar UKM. Satu kerjaya yang impi-impikan setelah tamat pengajian di Pusat Latihan Belia Peretak (PLBN) kini Institut Kemahiran Belia Negara Peretakn (IKBN Peretak). Saya diminta melapurkan diri ke UKM Jalan Pantai Baru KL. Ketika itu UKM masih mempunyai kampus sains di sana. Di Fakulti Sains UKM saya melapurkan diri di bilik Dekan pada waktu itu ialah Dr Zawawi Ismail ( kini YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. M. Zawawi bin Ismail, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM). Saya diberitahu oleh Prof Dato' Zawawi ketika itu beliau masih muda dan baru mentadbir Fakulti Sains.

Setelah melapurkan diri di pejabat Dekan saya diminta pergi bertugas di Jalan Universiti Petaling Jaya. Di Jalan Universiti terdapatnya komplek makmal sains. Di sanalah tempat melahirkan ramai saintis negara dalam Bahasa Melayu.

Kira-kira seharian saya baru selesai melengkapkan masa dengan urusan mendaftar diri sebagai kakitangan UKM. Perjalanan yang agak jauh. Namun saya puas kerana akhirnya saya berjaya mempunyai kerjaya di sebuah kota kosmopolitan. Saya diletakkan bersama seorang senior berjawatan Pembantu Makmal, namanya Khalil Alwi (kini Haji).

Mulai saat itu saya kena belajar untuk menjadi orang gomen. Khalil mengajar saya semua aspek. Masuk kerja pukul berapa dan balik pukul berapa. Masih saya ingat, waktu itu kakitangan kerajaan masuk kerja pukul 8 pagi dan baliknya 4 petang.

Ketika itu saya bekerja di bawah sistem gaji kabinet dengan gaji permulaan $295 dan gaji mati hanya $ 570. Tanda $ ada lah simbol matawang Malaysia sebelum menggunakna RM (Ringgit Malaysia). Wang sebanyak itulah saya gunakan untuk makan, tambang bas, sewa rumah dan lain keperluan termasuk kirimkan wang kepada ibu.

Oleh kerana saya bertugas di Petaling Jaya, abang Lah mencadangkan saya tinggal bersama-samanya di perkampungan setinggan, Kampung Seri Batu pinggir sungai dan berhampiran Sekolah Seri Puteri dan kini telah terbangunnya PWTC. Di sini saya tinggal bersama Kamaludin Ismail (anak Pakcik Mail). Sewa rumah $20 bahagi tiga orang. Rumahnya sekadar serambi rumah yang berkongsi dengan rumah tuan rumah.

Kehidupan di sebuah kampung setinggan saya rasai dan ia memberikan satu pengalaman yang indah dan sukar dilupakan.

29 Julai 2013

Saya Berhijrah

Tahun 1979 adalah kemuncak segala-galanya. Saya menerima panggilan temuduga untuk jawatan Jurugambar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Setelah mencari berbagai kerjaya, maka dengan panggilan temuduga ini memberikan satu kegembiraan yang tidak terhingga.

UKM ketika itu masih muda. Usianya masih lapan tahun. Ketika saya datang ke kampus tetapnya di Bangi, saya melihat pembangunan masih diteruskan. Bangi agak asing kepada saya. Jauh ke selatan untuk sampai ke sana mesti menaiki bas ke Kajang dan seterusnya meneruskan perjalanan dengan bas juga.

Terletak di sebuah bandar yang baru dibangunkan iaitu Bandar Baru Bangi (BBBangi).Oleh kerana Bangi masih belum membangun maka keadaannya tidak memberikan apa-apa keseronokkan kepada saya sebagai anak muda. Namun, demi mencari rezeki maka saya bertekad agar pekerjaan yang saya pohon akan menjadi kenyataan.

Oleh itu selepas ini siri ini akan saya catatkan semua kisah suka duka setelah berhijrah ke Kuala Lumpur dan seterusnya menetap di Bangi sehingga hari ini. Namun di mana jua saya pergi, saya masih memperkenalkan saya orang Kedah berasal dari Sik.

Masih saya ingat nama-nama sahabat seperti Cek Lah (bang Lah), Tajuddin Yahya (adik abang Lah), Kamaludin Ismail adalah rakan-rakan dari Sik yang menjadi sahabat ketika mengharungi cabaran perit pahit di Kuala Lamupur (KL). Insyaallah, jika diberikan umur yang panjang kisah ini akan mengambarkan berbagai peristiwa saya, peristiwa UKM yang akan menjadi sejarah kelak.

28 Julai 2013

Dari Daerah Permai ke Lembah Rezeki

Tahun 1968 ayah membawa saya, emak merantau ke Sungai Batang, Sik. Sebagai kanak-kanak lelaki baru berusia 10 tahun saya tidak mengerti apa-apa tentang kehidupan orang dewasa. Suka atau tidak, saya hanya akur dengan penghijrahan itu. Maka bermula tahun 1968 saya menjadi sebahagian penghuni sebuah kampung di pedalaman Kedah.

Pekan Sik 7 Jun 2002


Kampung ini terletak dipinggir sebuah bukit yang dinamakan Bukit Besar yang diceritakan bersempadan dengan Negara Thailand. Waktu pengganas komunis masih menjadi musuh utama negara. Maka tidak hairanlah saban malam terdengar bunyi tembakan motar oleh tentera kita menghalau musuh-musuh. Justeru, bunyi kereta kebal askar-askar sudah menjadi perkara yang amat lumrah sejak menjadi warga Kampung Sungai Batang.

Di mana terletaknya Kampung Sungai Batang anda akan perolehi maklumat setelah mengikuti catatan sepenuhnya. Kampung ini terlalu istimewa buat buat saya walaupun bukan kampung asal tempat tumpah darah saya.


Selepas mendapat keputusan SPM tahun 1975, saya tidak meneruskan pelajaran kerana ketiadaan wang. Ibu saya hanya seorang penoreh getah dikebun kepunyaan orang di sebuah kampung pedalaman Sik, Kedah. Semasa petang jikalau musim menanam padi ibu akan pergi mengambil upah menanam padi. Sekiranya musim menuai dia akan mengambil upah memotong padi. Itulah ibu saya. Namun kami tidak pernah kebuluran biarpun ketika itu harga getah hanya 29 sen sekati (bukan kilogram!). Ayah telah kembali ke rahmatullah ketika usia saya 11 tahun iaitu pada tahun 1969.

Tahun 1976 saya belajar menjadi penulis, pemberita dengan mantan Editor Utusan Malaysia En.Ghani Ahmad. Tahun 1977 saya menjadi pelatih di Pusat Latihan Belia PERETAK (kini Institut Kemahiran Belia)mengambil kursus senifoto tahun 1977.

Saya pernah menjadi penoreh getah,merasai peritnya hidup dengan harga getah cuma 29 sen! Tapi harga barang masih murah. Pernah mengambil upah menjadi pekerja kepada usahawan getah sekerap dan susu getah cair. Pernah mencuba mencari bijih secara haram! Pernah menjadi pemberita sambilan. Hanya dengan tulisan tangan, cerpen saya pernah disiarkan dalam Radio Malaysia. Hasilnya saya dapat membeli starika dan mesin taip. Kedua-dua barangan itu masih ada hingga kini dimana starika iru masih boleh digunakan oleh isteri dan anak-anak. Itulah berkat rezeki yang halal.


Pengalaman saya meningkat apabila pada tahun 1979 menjawat jawatan Jurufoto di UKM. Paling menyeronokkan mulai 1 Januari 1997 hingga kini saya merupakan tenaga pengajar sambilan di UKM. Hingga hari ini saya menyimpan banyak kisah duka, luka dan bahagia. Semua kisah saya dan kisah rakan-rakan.

Untuk melihat lebih banyak profil saya sila klik pada tajuk Profil Penuh.



Menerusi ruangan ini saya akan mengemaskinikan dari masa kesemasa mengikut kelapangan masa saya. Justeru, anda akan mendapati kisah ini akan terhenti untuk beberapa waktu. Mohon maaf andainya kisah di bawah akan terhenti untuk jangkamasa yang lama kerana ada waktunya saya tidak mempunyai waktu menulis. Namun yang pasti setiap tulisan akan bersambung.

Perjalanan kehidupan kita sebenarnya jauh. Namun begitu usia kita tidak panjang mana untuk menghadapi kehidupan yang pebuh dengan ranjau dan onak ini. Kita berkemungkinan bersemangat pada satu-satu peringkat, namun tidak dapat dinafikan ada waktunya kita jadi lemah dalam mengharungi gelombang kehidupan ini.

Saya menamakan blogg ini sebagai Dari Sik Ke Bangi kerana Sik menjadikan sejarah hidup saya penuh dengan dugaan. Di sana saya memasang angan-angan. Namun angan-angan itu bukan angan-angan kosong kerana bermula tahun 1979 saya memulakan satu permulaan sejarah yang menarik ketika melapurkan diri di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Saya menjawat jawatan Jurugambar dengan gaji hanya RM295!!. Tinggal di Kuala Lumpur dengan gaji sebanyak itu memang azab. Namun waktu itu masih bujang. Tapi cuba bayangkan apabila ibu saya(arwah)bertanya tentang perkahwinan!!! Saya amat teruja. Namun atas dasar tidak mahu menduhaka, saya memberikan alasan masih mahu membahagiakan ibu dengan gaji sebanyak itu!

Itu realitinya sehingga saya berpindah ke kampus UKM Bangi pada tahun 1982. Pada tahun 1985 saya berkahwin. Tapi yang tentunya menjadi sejarah semasa saya berkahwin gaji belum lagi RM1,000. Tapi saya bahagia apabila tahun 1989 saya boleh memandu sebuah kereta dan waktu itu isteri sedang mengandungkan anak pertama.

Bangi, Selangor mengajar erti kenyataan. Sik, sebuah daerah di pedalaman Kedah tempat saya memasang angan-angan. Betulkah angan-angan itu tiada berfaedah? Ah, kata Dr. H.M. Tuah angan-angan itu baik untuk membina kenyataan.

1979
5 November; 9.00 pagi saya tiba di kampus UKM di Bangi mendaftarkan diri sebagai Jurugambar. Selepas itu saya diminta melapurkan diri di kampus UKM Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur. Fikirkan pada mulanya kena kerja di Bangi. Aleh-aleh kena kat Kuala Lumpur. Masih saya ingat saya masuk melapurkan diri dengan Prof.Dr.Jalaini Sukaimi (kini Dekan FST Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai)

Oleh kerana beliau agak sibuk waktu itu saya disuruh berjumpa Prof. Dato Dr Zawawi Ismail (mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak).

Proses melapur diri selesai saya diminta ke makmal Fakulti Sains UKM di Jalan Universiti Petaling Jaya, Selangor (seksen 16).

Menariknya waktu itu barulah saya mengenali Petaling Jaya. Sekali gus saya juga mengenali Bangi, Petaling Jaya, Kuala Lumpur. Kampus utama UKM di Bangi. Pejabat urusan di Jalan Pantai Baru, bertugas di Jalan Universiti Petaling Jaya. Saya menyewa rumah (sebulan hanya RM20 sahaja) bersama rakan-rakan dari Sik di kampung setinggan Jalan Kuching. Nama kampung itu ialah Kampung Batu, tepi Sungai Gombak. Berhampiran Sekolah Seri Puteri. Kabarnya kampung itu telah tiada!

Kami menyewa bertiga. Cek Lah (abang Lah), Kamaluddin (Din Mail) bertugas sebagai Pembantu Luar di RISDA. Sesekali hujung minggu datang Tajuddin adik Cek Lah yang berlajar di UPM. Cek Lah sebenarnya datang ke KL atas sebab adiknya belajar di UPM. Katanya senang jikalau adiknya kekeringan wang.

Pernah satu pagi dia sedang berbincang dengan adiknya (sebaya saya, satu sekolah pun dulu) dia kata wang gaji tauke belum beri. Apabila saya dengar saya tak sampai hati. Langsung saya pinjamkan RM20.Besar tau nilai duit waktu tu jika RM20. Jadi apabila tinggal kat KL baru sedar erti sahabat.

Tinggal kat kampung setinggan ni pun bukan rumah, tapi kami menyewa serambi orang yang namanya Abang Taridi, kerja kat Universiti Malaya. Baik orangnya. Walaupun beliau tuan rumah tapi keluarganya macam keluarga kami. Tambahan wajah isterinya mirip wajah kakak sepupu saya.

Setiap bulan puasa (Ramadhan) kami diberi juadah. Pernah sekali pinggan yang dihantar bersama kueh belum dipulangkan anaknya datang meminta, kata saya kami tak ada kueh nak balas, anak dia kata tak apa mak nak beri kueh lagi. Itulah membuatkan saya teringat hingga kini.

Sewa rumah RM20 sebulan, kongsi tiga orang. Murahkan? Tapi harus ingat, saya pernah berkata waktu tu gaji saya cuma RM295, tanpa apa-apa alaun. Naik bas turun bas pergi kerja. Tapi saya enjoy! Maklumlah saya baru kenal KL. Sebut saja ceruk mana saya tak sampai. Tapi ada juga yang saya tak cekap. Maklumlah KL besarkan? Tapi Insyaalah dengan tugasan sebagai Jurugambar membuatkan saya boleh sampai di mana-mana hotel yang terkenal di KL. Makan free jangan cakap. Sebab tu badan saya boleh jadi bulat (gemuk) macam sekarang.

Harus saya beritahu, kerja yang saya dapat UKM khas buat ibu saya demi mengubah masa depan kami. Justeru, walaupun gaji saya kecil tapi saya "mewah" hingga kini (1979-2007)


1980

Selepas solat Jumaat, seorang rakan datang. Saya panggil dia abang Zali (Razali Jaman). Dia bertanya dalam loghat Kedah "Hang dah makan belum". Bila saya berkata sudah makan sebelum solat Jumaat, dia menghulurkan sehelai kertas telegram. Telegram itu memberitahu bahawa emak saya sakit di Kedah. Tukang hantarnya abang Wahid jiran mak saya. Tanpa membuang masa saya balik ke rumah sewa dan mengemas apa yang patut. Selepas memaklumkan kepada abng Lah yang tinggal serumah, saya ke Pudu Raya. Untuk cepat saya mengambil keputusan naik teksi untuk balik ke utara (Kedah). Teksi terus kesana tiada, tapi teksi untuk ke Ipoh ada. Pemandu teksi mencadangkan saya naik teksi ke Ipoh dan boleh dapatkan teksi ke Butterworth,Penang.

Saya menaiki teksi kira-kira jam 4 petang ke Ipoh dengan tambang RM10. Tiba di Ipoh lebih kurang jam 10 malam. Ketika perjalanan ke utara masih menggunakan jalan lama kerana lebuhraya belum dibina.

Sesampai di Ipoh satu lagi masalah timbul teksi ke Butterworth,Penang tak ada. Namun pihak pemandu teksi yang ada disitu meminta saya bersabar kerana mereka memberikan pengakuan teksi akan ada. Itulah kali pertama saya mengalami satu situasi yang mendebarkan berada ditempat orang. Keadaan ini mengajar saya erti musafir.

Pukul 1 pagi seperti yang janjikan oleh pihak di perhentian teksi, saya dapat juga sebuah teksi untuk perjalanan ke Butterworth, Seberang Prai.

Syukur jam 5 pagi saya selamat sampai Butterworth. Dari situ saya menaiki teksi untuk ke rumah Paksu ke Padang Menora,Tasek Gelugor dengan harapan emak saya ada disana. Jangkaan itu saya buat kerana berdasarkan pejabat pos yang mengirimkan telegram adalah dari Tasek Gelugor. Tapi jangkaan saya meleset apabila saya naik ke rumah Paksu emak tiada.

Setelah saya bertemu Paksu dan Maksu barulah saya ketahui emak saya berada di Kedah. Telegram yang dihantar oleh jiran saya dari Seberang Prai. Hari itu hari Jumaat negeri Kedah bercuti jadi jiran saya menggunakan khidmat telegram di Seberang Prai.

Selepas menjamu sedikit sarapan pagi saya bertolak balik ke Kedah.

Bermula dari sinilah saya memahami erti rindu seorang ibu. Rupanya ibu saya merindui saya. Saya memberitahu abang ipar yang berada di Kluang Johor. Mereka datang. Kami mengambil keputusan untuk membawa emak ke Kluang tinggal dengannya. Selang enam bulan saya membawa emak tinggal dengan saya di Kampung Melayu Batu Caves. Kami menyewa sebuah rumah dengan harga RM75.

1982

Tahun 1982 saya dan warga Fakulti Sains UKM perlu berpindah ke Bangi kerana bangunan baru telah siap. Mulai tahun ini juga sejarah UKM telah tercipta apabila Fakulti Sains berpecah (distrukturkan)kepada empat fakulti. Mulai tahun ini juga wujudnya Fakulti Sains Hayat, Sains Fizik dan Gunaan, Sains Matematik dan Sains Sumber Alam (di kampus Sabah) sehinggalah tertubuhnya Universiti Malaysia Sabah (UMS) Fakulti Sains Sumber Alam "dibawa" balik ke Bangi.

Oleh sebab tempat bekerja akan berpindah ke Bangi, maka saya perlu mencari rumah sewa sekitar Bangi. Mustahil saya hendak berulang alik dari Kuala Lumpur. Jauh. Dengan gaji yang kecil sekitar RM 400 mana mungkin saya berbuat begitu.

Pada satu hari Ahad saya dan Majid (sahabat dari kedah) telah datang ke Kajang mencari rumah sewa. Seluruh pekan Kajang saya dan Majid mencari rumah, namun hampa. Ada tu adalah tapi perlu sewa bilik dengan orang lain. Saya tidak mungkin berbuat begitu.

Sehinggalah pada suatu hari saya terserempak dengan "abang Din". Beliau menegur saya setelah mengecam dari loghat kami berdua ada gaya orang Sik bercakap. Akhirnya kami baru tahu beliau berasal dari Pekan Batu Lima Sik. Abang Din berkahwin dengan Kak Ani orang Kajang. Bertugas dengan Lembaga Letrik Negara (LLN), Kini TNB. Dengan bantuan beliau saya berjaya menyewa rumah di Kampung Datuk Abu Bakar Baginda.

"Sewanya 120 sebulan.' kata Wak Ahmad (tuan rumah Hj. Ahmad bin Karto (sudah arwah) -namanya sudah menentukan dia orang Jawa)

"Tanda jadi Wak nak berapa?"tanya saya.
"Allah senang saja, bagilah berapa yang awak nak bagi...."balas Wak Mad dengan pekat loghat Jawanya.
"20 puluh Wak?"
"Boleh saja.Kalau tak jadi sewa,datang ambil balik....!"
Eh, baik benor Wak ni bisik saya kepada Majid. Majid tersenyum
"Aku rasa rumah ni sesuai sangat dengan Mak Mu" balas Majid.

Ahad depan aku, emak dan Majid datang mencuci rumah Wak Mad. Semasa mencuci rumah datang isteri Wak berbual dengan emak aku. Ahh macam itik bertemu ayam

Apa tidaknya, seorang dengan loghat Kedah masih pekat (mak aku). Sorang bahasa Jawa yang juga pekat. Tapi peliknya masing-masing boleh berkumonikasi dengan berkesan. Kadang kala saya lihat mereka terdiam. Mungkin tak faham istilah.

Bagi saya, Kampung Datuk Abu Bakar Baginda cukup meninggalkan kesan kerana ia mempunyai sejarah tersendiri.

Di sinilah saya mengenali masyarakat Jawa. Pertama kali saya menjamah "Nasi Ambeng" yang asli dibungkus dalam daun pisang.

Tahun 1982 menyaksikan perubahan dalam sejarah UKM apabila Fakulti Sains berpindah ke Bangi setelah distrukturkan menjadi empat fakulti. Fakulti-fakulti terebut ialah, Sains Hayat,Sains Fizik dan Gunaan, Matematik dan Sains Sumber Alam. Fakulti Sains Sumber Alam ditempatkan di UKM Sabah sehinggalah tertubuhnya Universiti Malaysia Sabah (UMS) fakulti tersebut dibawah balik ke Bangi.

Sebagai makluman tahu 1999 sekali lagi berlaku pengstrukturan dan saya akan terangkan dalam bab tahun 1999.

UKM terletak 26 kilometer di selatan Kuala Lumpur. 5 kilometer dari Bandar Kajang. UKM terletak di Bandar Baru Bangi yang pesat membangun dimana terdapat beberapa institute latihan, universiti swasta. Industri ternama. Oleh kerana UKM antara institut pengajian tinggi yang pertama di Bangi, maka kami sebagai staff mengharungi kesusahan pada peringkat awal berada di sini.

Tahun 1982 Bandar Baru Bangi belum membangun lagi. Banyak tanah masih belum diteroka. Hutan sawit, getah menjadi pemandangan biasa. Udaranya nyaman. Malahan sorang Ahli Parlimen di Segamat mencerita kepada saya semasa beliau menuntut di UKM, ada masanya beliau menorah getah untuk mencari wang saku. Pokok getah yang beliau maksudkan ia itu dikawasan Kelab Danau masa kini (kelab gofl UKM).

Sistem pengangkutan? Macam sistem kampung lagi. Cuma ada satu syarikat bas dari Kajang (bas Sum). Jika nak ke KL kena naik satu lagi bas (bas Foh Hup).

Sekarang? Jangan bandingkan lagi dengan 30 tahun dulu lagi! UKM boleh berbangga dengan system pengangkutanya. Siapa tidak tahunkometer yang merintasi kampus UKM? JIkalau anda menaiki tren ini dari KL ke Seremban pasti akan mendengar pengumuman pemandunya yang menyebut “Stesen UKM”! Bas Rapid KL dan teksi-teksi juga menjadi pengangkutan utama di UKM disamping bas-bas UKM sendiri yang memberikan perkhitmatan kepada ribuan warga UKM, khususnya pelajar.

Oleh kerana ketika itu tidak banyak organisasi yang wujud di Bangi, maka kelompok pergaulan kami hanyalah dikalangan staff UKM sahaja. Pensyarah menjadi akrab dengan pekerja-pekerja bawahan. Pelajar menjadi lebih mesra dengan staff. Justeru itu kemesraan terjalan menjadikan kelompok kami agak terhormat.

Akibat keadaan itu menjadikan soal jodoh pun dipengaruhi oleh keadaan itu. Sebab itu ramai dikalangan staff UKM yang bertemu jodoh dengan orang sekeliling. Jangan terkejut ramai dikalangan kami mempunyai isteri,suami dari kalangan staff UKM. Tidak kurang juga yang bertemu jodoh dengan pelajar UKM sendiri!!

Ramai rakan-rakan saya menyewa rumah sekitar Kajang. Di Bandar Kajang memiliki banyak kemudahan. Kedai makan, kedai-kedai untuk barang keperluan mudah diperolehi di Kajang. Tinggal di Kajang memudahkan mereka jikalau hendak ke Kuala Lumpur.
Berbalik kisah tinggal di Kampung Dato Abu Bakar Baginda (Kg DABB). Oleh sebab saya menjaga emak. Maka saya lebih selesa tinggal di kampung. Biarpun banyak kemudahan tiada, tapi saya tidak mahu emak mengalami tekanan perasaan bila tinggal di Bandar.

Saya melibatkan diri dengan kegiatan belia di kampung tersebut. Tambahan tuan rumah, Abu Naim (arwah) merupakan seorang aktivis politik bersama Dato Hj. Kamaruddin maka saya berpeluang menyertai kegiatan belia 4B kampong itu. Malahan saya berpeluang menjadi AJK untuk sama-sama berkhidmat untuk belia-belia di situ. Abu Naim mengetahui saya seorang lepasan Pusat Latihan Belia Peretak, maka saya lebih dipercayai untuk membantu kegiatan persatuan mereka.

Bak kata pepatah, masuk kandang lembu menguak, maka saya mengambil peluang ini untuk terus mengasah bakat yang telah lama dibawa dari Sik. Namun saya berhati-hati tidak mahu nanti dikata orang hendak menunjuk belang di tempat orang.

Minat saya terhadap kerja-kerja kemasyarakatan memanglah tinggi. Namun oleh kerana saya adalah orang mendatang di kampung orang maka saya perlu berhat-hati.

Saya pernah menyaksikan perjumpaan Dato Hj. Suhaimi Kamaruddin sering datang ke rumah Abu Naim. Ketika itu Dato Hj. Suhaimi menjadi Ahli Parlimen Sepang. Setiausaha beliau ialah Cikgu Sharif yang akhirnya menjadi Ahli Yang Behormat Parlimen Sepang.

1983

Tahun 1983 mencipta tersendiri dalam hidup saya kerana pada tahun ini saya bertemu gadis pilihan. Gadis tersebut staff UKM juga. Maklumlah kami (warga kerja UKM) waktu itu berkumpul antara kami sahaja. Organisasi kerajaan, industri belum berkembang seperti sekarang. Tidak hairanlah ramai dikalangan kami bertemu, bercinta dan berkahwin dengan kalangan warga UKM.

Tidak dapat dinafikan faktor bertemu semasa urusan kerjaya membuatkan kami menjalin hubungan "percintaan". Ada waktunya kami tidak menyedari perkara ini terjadi, namun setelah lama berkawan akhirnya perasaan kasih sayang tidak boleh diselindung lagi.

Masih segar dalam ingatan waktu itu saya telah menerima tawaran daripada Universiti Utara Malaysia sebagai Jurufoto. Kononnya ingin balik ke negeri asal (Kedah) namun atas nasihat ibu, saya batalkan tawaran itu.Itulah takdir. Kerana nasihat ibu akhirnya kami bertemu jodoh setelah bertunang pada tahun 1984 dan bernikah tahun 1985.

Namun dalam diari saya tahun 1983, 1984 dan tahun 1985 terlalu bermakna dalam hidup saya.

Jika sebelum ini saya amat berhati-hati dalam soal memilih jodoh kerana amat bimbang sesuai atau tidak dengan emak saya namun dengan takdir Allah saya bernikah juga dan dapat duduk sebumbung dengan emak saya. Memanglah dalam hidup bersuami isteri disamping menjaga seorang ibu amat payah untuk membahagi kasih.

Biarpun kasih kita kepada Ibu dan Isteri amat berbeza, namun anda harus ingat mereka seorang wanita. Kita perlu faham masalah ini dalam mengendalikan sebarang masalah!

Jika berminat untuk terus membaca catatan ini, saya mempelawa anda mengikuti catatan yang akan dipecahkan mengikut tajuk-tajuk kecil. Semoga kisah saya menjadi panduan anda dalamm mengharungi kehidupan seharian.

Hidup ini tidak mudah, kerana kehidupan ini penuh dengan cabaran. Pastinya saya dan akan terus berjuang untuk hidup!


Taman Desa Sentosa,Bangi;Selangor.

16 Jun 2013

Pak Cik Saad (Tok Saad)

Ketika duduk-duduk di pagi Ahad, kenangan berada di Kampung Sungai Batang datang dengan syahdu sekali. Banyak-banyak kenagan saya teringatkan Pak Cik Saad atau Tok Saad. Nama hebat di kampung saya kerana beliau seorang usahawan getah cair, getah keping mahupun getah sekerap. Waktu itu nama Mardec ada sebuah syarikat membeli getah cair. Pak Cik Saad salah seorang peniaga yang berusan membeli hasilan getah daripada orang-orang kampung.

Saya ditawarkan menjadi pekerjanya selepas tamat persekolahan. Jadi kerani kepada Pak Cik Saad. Kata orang anaknya buta huruf dan tidak mampu mengendalikan perniagaannya akibat kekurangan itu. Namun, soal tenaga tiada masalah. Anaknyalha yang membantu saya mengangkat segala bebanan.

Seronok juga menjawat jawatan itu kerana tidak perlu pergi bertugas awal. Paling awal saya masuk kerja pukul lapan pagi. Macam orang masuk pejabat juga. Tahun 1978-79 minat untuk menjadi peniaga seperti itu mana saya minat. Namun benih-benih untuk minat berniaga sudah ada.

Setiap hari, isteri Pak Cik Saad akan menjamu saya dengan sarapan pagi. Kadang-kadang kalau dia tak sempat buat sarapan saya sarapan di kedai. Sebagai peniaga, Pak Cik Saad mengamanahkan kepada saya wang dalam jumlah yang banyak. Lima atau lapan ratus akan dibekalkan kepada saya untuk urusan jual beli hasilan getah.

Gaji? Tidaklah besar. Perniagaan yang kecil mana mungkin saya dibayar dengan gaji yang besar. Tetapi pengalaman yang saya pungut semasa bekerja membuatkan saya suka. Saya tahu bagaimana untung rugi seorang peniaga (masa tu istilah usahawan belum wujud).

Berbagai pengalaman saya alami. Antaranya bagaimana penoreh getah memasukkan tanah, batu dan kulit pokok getah ke dalam getah sekerap mereka. Dengan memasukkan bahan-bahan itu mereka mengharapkan agar timbangan mereka akan berat. Wau, bukankah itu menipu yang boleh disoal di akhirat kelak? Sedangkan selama ini kita hanya menyentuh perkara ini yang melibatkan peniaga menipu timbangan.

Kerana sikap penoreh menipu maka keesokan hari Pak Cik Saad akan memberitahu bahawa kemerosotan berat bahan getah berlaku ketika dijual kepada paraih. Mana tidaknya ketika penoreh menjual bahan-bahan tersebut ada juga yang memasukkan air.

23 Februari 2012

Sik dan bahasanya.

Kali pertama membawa balik puteri-puteri saya balik Sik, puteri sulong membuat komen begini; "ayah kenapa Pak Haji Wahid bercakap tak macam sepupu ayah di Penang (Permatang Pauh)". Saya tersenyum kerana puteri sulong saya sudah mula merasa kelainan ketika berada di rumah abang angkat saya Haji Wahid Ahmad (Wahid Cu Mad).

Anda boleh bergaul dengan mereka
dan belajar memahami perlahan-lahan.
Orang Sik dan Baling bila bercakap menggunakan dialek yang berlainan daripada orang Kedah Hilir. Kata saya. "Kedah Hilir?", Atiqah masih bingung. "Kedah Hilir merangkumi Sungai Petani, Alor Setar, Yan, Kulim dan sebagainya. 

"Kedah Hulu merangkumi Sik, Baling, Kuala Nerang, Pendang", sambung saya. Kedah Hulu bila mereka bercakap menggunakan bahasa yang mirip orang Kelantan, tetapi boleh dibezakan kalau kita dengar secara cermat. Sambung saya kepada puteri-puteri saya.

Kata saya lagi, " Kalau Kedah Hulu becakap bunyi begini.....Mu nak G mana? Tapi Kalau orang Kedah Hilir pula akan berkata begini, "Hang nak P mana?" atau kalau dalam bahasa Melayu baku ialah " Kamu nak pergi mana?" . Anak-anak saya mula faham.

" Kalau G mana? maknanya P mana atau Pergi mana" . Bunyinya ringkas, tetapi kalau tak faham payah juga.
"Menarik sekali kalau kita mendengar mereka bercakap sesama kita. Tetapi kebanyakkan orang Sik apabila bercakap dengan orang luar mereka ada juga yang menggunakan bahasa Kedah Hilir.

Loghat ini dipercayai ada kaitan dengan sejarah Kedah yang pernah dinaungi oleh kerajaan Siam (Thailand) suatu ketika dulu. Sejarah tersebut melibatkan kisah pemberian Ufti kepada kerajaan Siam. Malahan kalau anda ke daerah Sik terdapat orang-orang di sana bercakap dalam bahasa Thai. Jika anda ke beberapa kampung orang melayu bercakap melayu tetapi bunyinya macam orang Thai bercakap melayu.

Di daerah Sik terdapat beberapa kampung yang diami masyarakat Thai tetapi fasih berhasa melayu dealik Sik. Cuma saya agak rugi tidak belajar bahasa Thai dari rakan-rakan bangsa itu ketika bersekolah dulu. 

Ini keunikkan yang saya lihat. Malahan walaupun mereka merantau jauh keluar daerah, namun dialeknya masih boleh dikenal pasti bahawa mereka orang Sik, Baling atau dari mana-mana orang Kedah yang tinggal di sempadan Thailand.

Allahyarham Tan Sri Hamid Othman, mantan Ahli Parlimen Sik yang pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika memberikan ucapannya, saya dapat mengecam beberapa sebutan yang melambangkan beliau anak Sik.

Misalnya ada seorang penulis pernah menulis di sebuah akhbar bahawa kalau menyebut A harus faham dulu maksudnya kalau tidak anda akan keciwa atau menjadi bahan ketawa orang lain.

A bermaksud huruf A kalau dieja. A juga boleh diletakkan pada nama bilik. Tetapi di Sik kalau A itu adalah "air" yang bermaksud  AYAK' buat orang Kedah Hilir.

Contohnya begini ; "G ambik A kat dapur Tok Wan nak makan" maksudnya " Pergi ambil air Tok Wan nak minum" ( Tok Wan ialah panggilan untuk Atuk Lelaki | Makan bermaksud minum. Namun ketika ini oleh kerana ramai generasi baru yang berkahwin dengan orang luar dari Sik atau Negeri Kedah, maka penggunaan makan sudah berubah menjadi minum.

Contoh kedua; " Bawa buku ini G  Bilik A". Kalau boleh anda perlu berkata begini " Bawa buku ini G ke Bilik bertanda A". Kalau tidak sudah pasti buku tersebut akan dibawa ke Bilik Air.

Saya fikir mungkin sudah atau molek diwujudkan kamus loghat Sik. Namun ia mungkin menjadi tidak menarik kerana loghat ini lebih mudah dan lebih istimewa kalau dipelajari dengan bergaul dengan orang-orang Sik.Sam Ratulinggi  dalam komennya memberitahu pada tahun 1966, Prof Datuk Ismail Hussin telah membuat tesis mengenai dialek sik untuk phdnya.

Secara peribadi saya mungkin bukanlah orang yang mahir berbahasa Sik, kerana ketika tinggal di Sik arwah ibu menggunakan bahasa Kedah Hilirnya. Manakala arwah ayah sebelum dia meninggal di Kampung Sungai Batang (kini Tasik Beris) menggunakan bahasa Perak kerana beliau orang Kuala Kangsar.

Lebih parah buat saya kerana berkahwin dengan orang Muar yang pekat dengan bahasa Johor. Justeru itu saya harus mengimbangi gaya bahasa kerana anak-anak saya dilahirkan di Lembah Klang yang pastinya menggunakan bahasa Melayu baku.

Saya menulis catatan ini sekadar ingin memperkenalkan dealik Sik, Baling dan sekitarnya. Bagi anda yang mungkin telah mahir, mungkin tiada masalah. Proses perubahan memang berlaku kerana penduduk Sik dari generasi muda telah ramai berhijrah ke luar dari Sik atau Kedah. Malahan terdapat daripada mereka berkahwin dengan orang luar dari Sik. Maka proses ini akan berlaku kepada anak-anak mereka.
Isteri saya (kiri sekali) sudah boleh
memahami dealik Sik walaupun beliau orang Muar.


Tetapi bagi saya pertuturan ini boleh dikekalkan kerana peribahasa berbunyi "Bahasa menunjukkan bangsa" tidak akan lapuk dek hujan. Di mana bumi dipijak disitu langit dijunjung. Namun asal usul kita jangan dilupakan.

Seperti orang Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan lain-lain lagi; mereka tetap menggunakan bahasa mereka walaupun sudah merantau jauh di kota. Saya berbangga dengan kebolehan menggunakan dealik ini. Malahan kalau saya bercakap hanya berdua di pejabat dialek ini akan digunakan bersama Haji Ismail, rakan pajabat yang berasal dari Baling.

Namun begitu kerana di UKM tempat saya bertugas mempunyai kepelbagaian bahasa dan loghat, maka kesukaran itu boleh saya atasi. Walaupun saya harus menggunakan loghat Utara ketika singgah di rumah keluarga saya di Permatang Pauh yang hanya 45 minit untuk sampai ke Sik.

Kalau kita boleh belajar, apa sahaja loghat dan bahasa boleh diamalkan. Malahan dengan kebolehan ini saya boleh bercakap dengan rakan-rakan dari Kelantan dan Terengganu begitu mudah walaupun tidak sama alunan bahasanya. Sekadar untuk berkawan, saya kini boleh menggunakan loghat Negeri Sembilan walaupun mereka tahu "Den  orang Kodah!


***Kamus ini mampu membantu anda Kamus Dialek Sik , Baling......cuba download kamus ni tgk....hasil usaha kak nasiroh hj hussein ni.....

24 Disember 2011

Cikgu Putih

Cikgu Putih orangnya kecil sahaja. Guru lelaki yang mesra dengan orang kampung Sungai Batang. Guru Besar lelaki yang berasal dari Kampung Kemelong, Sik. Hatinya baik menyebabkan dia bermurah hati membenarkan arwah ayah menumpang di tanahnya berhanpiran Sekolah Kebangsaan Sungai Batang.

Sekolah lama yang agak sempurna bagi sebuah kampung. Dinding papan bertingkapkan dawai agar angin mudah masuk. Ada guru-guru wanita kurang senang dan tidak selesa dengan sekolah ini kerana ianya terbuka. Orang kampung boleh masuk ikut suka. Kalau orang kampung balik dari kebun atau sawah mereka akan berhenti seketika sambil melihat guru-guru mengajar

Mereka mungkin terpesona dengan wajah guru atau terpesona dengan apa yang diajar. Maklumlah tidak semua orang kampung yang celik huruf ketika itu. Justeru itu bahan yang diajar menarik minat mereka yang tidak pernah ke sekolah.

Cikgu Putih baik orangnya. Tapi ada satu hari dia naik angin apabila kami membuat bising dalam kelas yang berhampiran dengan biliknya. Mau taknya bising sampai nak karam. Maklumlah budak-budak darjah enam!

Beliau menyuruh saya mencari rotan. Saya jumpa abang Din, seorang Tukang Kebun merangkap Pembantu Pejabat. Abang Din suruh saya pilih mana satu rotan yang bagus. Saya pilih yang besar, kononnya kurang sakit.

Sesampai di bilik Cikgu Putih dia minta semua murid-murid lelaki berbaris, termasuk saya. Saya berbaris ditengah-tengah. Apa lagi Guru Besar yang penyabar ini sudah hilang sabar. Dirotannya ikut baris. Mak aiiii sakit juga. Saya berdetik dalam hati, ingat aku yang pergi cari rotan aku tak kena rotan. Balik rumah cerita kat emak, emak kata "hang nak mak tambah lagi ka?". Mulanya aku berdendam juga, maklumlah budak baru umur dua belastahun.... tapi rupa-rupanya dendam itu hilang kerana sifat pengasihnya ada dari dalam hati Cikgu Putih.

Beliau luhur hatinya dengan orang kampung. Peranannya macam penghulu kerana maklumlah seorang kakitangan kerajaan beliau mengambil berat biar apa saja masalah.

Ketika di Sekolah Menengah Kebangsan Sik saya bergurukan anak-anaknya Cikgu Radhi dan Cikgu Zainol. Kabarnya beliau masih sihat dan menghabiskan masa emasnya di Kampung Kemelung. Masa belum menemukan saya dengan beliau.

Surat khabar

Surat khabar sesuatu yang istimewa di Sik empat puluh tahun lalu. Akhbar perdana mengambil tempat dan menjadi wadah berita yang disukai ramai.

Dalam sebuah kampung boleh dikatakan tidak semua orang yang membelinya Kalau beli pun hanya ketika keluar ke pekan Sik. Waktu itu hanya sebuah kedai sahaja yang menjualnya. Surat khabar akan tiba sekitar pukul 9 atau 10 pagi.

Kampung Sungai Batang kebiasaanya kami membaca di kedai-kedai kopi atau kedai runcit. Kalau ada sepuluh helai muka surat khabar maka akan berpecah menjadi sepuluh orang. Kalau yang membaca mengenai sukan maka bab sukan yang direbut dulu. Rencana-rencana yang berat jarang orang baca. Kecuali kalau ada berita kemangkatan sultan, serang hendap komunis yang melibatkan kejadian di Gubir, Nami, Naka maka berita akan jadi panas. Walhal kejadian itu biasanya telah berlalu hampir seminggu. Oleh kerana sebelum ini sudah ada khabar bahawa kejadian itu berlaku maka apabila surat khabar mengeluarkan beritanya orang kampung akan tercari-cari akhbar.

Pencari kerja akan menggunakan akhbar sebagai sumber rujukan. Saya mendapat kerja di UKM pun sumber iklan adalah akhbar.

Semasa saya berminat menjadi jurufoto dan wartawan, surat khabar adalah sumber inspirasi. Saya berangan-angan nama saya kelaur di dada akhbar. Malahan ketika Mingguan Malaysia menyiarkan foto yang saya rakam pada tahun 1978, saya dikenali ramai.

Tidak dapat dinafikan ketika beberapa surat khabar melayu menyiarklan keputusan nombor ekor, akhbar akan dicari oleh penjudi sebelum masuk kebun!

22 Disember 2011

Gelap malam

Lampu letrik. Agak pelik bagi saya bila mendengar benda itu. Mana tidaknya sejak saya tinggal di Sungai Batang, rumah saya mana ada lampu letrik. Bila saya balik ke rumah Pak su di Padang Menora, dekat jalan ke Lunas saya merasai terangnya lampu letrik. Kalau emak saya suruh ke sana setiap musim cuti sekolah memang menyeronokkan.

Ketika rumah saya hanya menggunakan lampu minyak tanah. Kalau guna lilin kira orang kayalah kami. Ada waktunya waktu malam kalau nak berjalan ke mana-mana pakai lampu jamong yang di letakkan dalam tong kecil nyalakan api lampu. Tapi bagusnya lampu macam ini boleh menghindarkan serangan Ular Kapak.

Emak saya akan menggunakan lampu minyak tanah dua biji ketika menganyam ata rumbia. Ketika menganyang tikar mengkuang juga emak akan menyalakan dua biji lampu minyak tanah.Kalau orang agak berada sikit mereka menggunakan lampu Gas Solin.

Waktu itu seingat saya pekan Sik sudah ada janakuasa letrik yang diusahakan oleh seorang usahawan di sana. Waktu pagi akan di offkan manakala waktu malam baru di onkan. Rasanya kalau tak silap waktu tengah hari janakuasa ini akan dihidupkan.

Sekitar awal tahun 1980an daerah Sik telah menikmati cahaya letrik oleh LLN (TNB). Sehingga kini  daerah Sik menikmati semua kemudahan itu seperti daerah-daerah lain.

Masih segar dalam ingatan saya waktu itu kalau hendak menonton TV penduduk yang mempunyai peti TV tersebut akan menggunakan enjin atau janakuasa berkuasa petrol. Kalau tiba-tiba enjin mati, TV akan off. Menjerit penonton yang masuk menonton dengan bayaran 10 sen seorang.

11 Februari 2011

Kemalangan bas di selekoh Z

Zaman saya bersekolah dulu kena berulang alik ke Sekolah Menengah Sik dengan bas Mara. Bas ini menjadi bas sekolah kami yang datang dari Nami. Seawal enam pagi saya sudah menunggu bas dengan rakan-rakan.

Pemandu bas bernama Pak Saad yang kami panggil Pak Aat. Orangnya begitu mesra dengan budak-budak sekolah boleh bercakap Siam tapi kalau bercakap Melayu bunyi slang Siamnya.

Entah kenapa suatu pagi dia tidak memandu tetapi diserahkan kepada rakannya yang bekerja sebagai mekanik dengan Mara. Pak Saad duduk di bahagian belakang sambil melayan rakan-rakan saya.

Bas Mara-sekadar hiasan

Tiba di satu selekoh merbahaya yang dikenali oleh orang Kampung Sungai Batang sebagai Kona Z (corner) tiba-tiba sebuah lori balak datang dengan laju dan melanggar bas yang kami naik. Bahagian yang dilanggar ialah sebelah pemandu.

Saya berada di bahagian depan bas, dekat tangga. Maklumlah budak-budak sekolah suka duduk.dikawasan tangga bas. Syukur kemalangan itu tidak mengakibatkan kecederaan kepada penumpang. Saya tidak dapat hendak membayangkan andainya lori itu melanggar tepat bahagian depan bas.

Pak Saad penik kerana kemalangan berlaku ketika dia tidak memandu. Pesan beliau jangan baeri tahu sesiapa bahawa dia tidak memandu ketika itu. Mungkin rahsia itu terpecah sekarang selepas hampir empat puluh tahun.

09 Februari 2011

Kisah pilu

Sekitar tahun 1973, ketika saya pulang dari sekolah ke Kampung Sungai Batang, konduktor (orang Kedah sebut kolek) bas MARA yang saya sudah lupa namanya memberitahu sebuah lori balak kemalangan di Kampung Terenas. Tidak silap saya berhampiran ladang anggur Tasik Beris sekarang.

Tragisnya kemalangan itu ialah pemandu lori balak itu tersepit pada bumbung lori yang telah dihempap kayu balak yang dibawanya. Menurut cerita orang yang menyaksi kejadian, mangsa meminta tolong kerana kesakitan yang amat sangat. Namun apakan daya orang ramai gagal membantu. Mereka cuma mampu mengajar mengucap dan memberi sedikit air kepada mangsa.

Bantuan oleh pasukan Bomba (ketika itu belum dinamakan Penyelamat) kalau tidak silap dari Gurun atau Sungai Petani dan Alor Setar sahaja. Pekan Sik belum mempunyai pasukan Bomba.

Itulah peristiwa yang sukar saya lupa sehingga kini biarpun saya tidak melihat namun kesannya ialah betapa perlunya bantuan seperti pasukan Bomba dan Penyelamat mahupun JPA3. Kabarnya agensi itu telah wujud di Sik.

Jalan Tasik Beris ke Nami- Tidak jauh dari jambatan ini terdapat jalan lama Sik ke Nami berhampiran Kampung Terenas. Di sinilah pernah berlaku kemalangan pilu.

07 Februari 2011

Kedai Gambar Malaysia

Kedai Gambar Malaysia adalah satunya kedai gambar di pekan Sik. Pemiliknya seorang berbangsa Cina. Tahun 1970an masih ramai yang menggunakan filem untuk merakam gambar. Kedai inilah tempat saya menghantar filem untuk dicetak.
Pernah sekali sebelum saya pergi belajar fotografi pada tahun 1977, filem yang dihantar jadi hitam. Rupa-rupanya filem tersebut telah expose kerana saya telah terbuka sebelum diproses.

Harga sekeping gambar hampir seringgit. Jadi waktu wang pun tak berapa ada, maka kerja mencetak gambar tidaklah boleh dilakukan dengan banyak.

Kalau hendak mencetak warna kena tunggu dekat seminggu baru siap kerana tauke kedai itu kena hantar ke Sungai Petani atau Alor Setar.Saya melihat mesin proses filem dan cetak gambar sekitar tahun 1976 di Sungai Petani.

Filem ketika itu masih menggunakan format 120 atau 110mm. Maka kalau nak ambil gambar habis banyak saya guna 10 keping sahaja. Justeru untuk mengabadikan kenangan amat mahal pada zaman tersebut.

Gambar yang dirakan di Kedai Gambar Malaysia, Sik pada tahun 1975

06 Februari 2011

Pekan Selasa

Kegemilangan Pekan Selasa tiada tolok bandingnya. Pekan ini adalah pasar lambak mirip pasar malam sekarang. Namun ia beroperasi hanya pada hari Selasa di kawasan Jalan Cepir. Ia menjadi tarikan masyarakat sekitar daerah Sik membawa ke Belantik.

Kalau musim orang-orang Sik memepunyai rezekinya murah maka akan meriahlah Pekan Selasa. Emak saya biasanya akan ke Pekan Selasa ketika hampir waktu saya pulang sekolah. Menariknya emak akan membawa saya menjamu selera di kedai mamak. Kalau tak silap namanya Maiden. Ketika itu selera tengah tajam maka makanan kedai mamak ini cukup sedap. Namun saya tidak pasti emak membawa berapa jumpa wang kerana harga getah tidaklah mahal sangat. Paling mahal lima puluh sen sekati sahaja. Saya masih ingat emak akan membawa balik ikan Pelotan ( Mayong) seekor untuk dijadikan kari dan kami makan anak beranak dalam dua atau tiga hari. Peliknya, rumah saya tiada peti sejuk, namun masakan emak tidak basi!

Pekan Selasa akan beroprasi dengan meriah menjual berbagai hasil jualan. Paling laku ialah ikan-ikan dari laut. Maklumlah Sik berada di pedalaman Kedah jauh dari laut, maka ikan laut akan menjadi makanan paling istimewa.

Harga barang waktu itu walaupun mahal bagi orang miskin, namun kalau difikir-fikirkan sekarang ianya jauh lebih murah dari bandar. Kuih muih, buah-buahan cukup murah sekitar tahun 1970an. Saya masih ingat, Apom Balik (Apam Balik) saiznya cukup besar harganya kalau tak silap hanya seringgit. Boleh mengenyangkan.

Ada satu keistimewaan di Pekan Selasa ialah penjual ubat yang akan mempromosi jualannya dengan menggunakan speaker. Rasa saya ubatnya membantu orang-orang yang berkunjung ke situ. Boleh dikatakan penjual ubat ini umpama doktor. Tambahan ketika itu daerah Sik belum ada hospital.

Pekan Selasa di Sik umpama pasaraya orang Sik. Mahu apa sahaja terdapat di sini. Ia menjadi nostalgia manis buat saya. Kabarnya Pekan Selasa masih wujud.


03 Februari 2011

Cek Lah

Siapa kawan kita dalam hidup ini yang berjasa kepada kita? Sebab itu seorang ayah ibu perlu tahu siapa kawan kita. Malahan seharusnya kita kena kenal siapa kawan anak-anak kita.

Dalam ramai-ramai kawan saya sukar untuk melupai Cek Lah. Dia seorang abang yang mempunyai adik sebaya saya bernama Tajuddin. Saya menjadi karib dengan Cek Lah kerana adiknya rakan sekolah. Emak saya tidak menghalang berkawan dengan Cek Lah. Usianya hampir sepuluh tahun lebih tua dari saya. Walaupun kami mempunyai jarak umur yang begitu jauh, Cek Lah tidak memilih bulu, Oleh kerana dia belum berkahwin dan tinggal hanya dengan adiknya maka rumah Cek Lah adalah tempat saya melepak.

Di rumahnya ada waktunya kami memasak mi segera. Dia suka melayan kami macam kawan-kawannya. Namun saya masih menjaga batasan kerana usia saya begitu jauh dengannya.

Oleh kerana adiknya Tajuddin sedang belajar di UPM maka Cek Lah mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1979 untuk tinggal lebih dekat dengan adiknya disamping bekerja sebagai buruh kontrak. Ketika dia membawa diri ke KL saya kehilangan kawan.

Namun Allah Maha Berkuasa, pada 5 November 1979 saya telah ditawarkan bertugas di UKM. Saya ke KL dan tinggal dengan Cek Lah dan Kamaruddin Ismail di sebuah kampung setinggan bernama Kampung Batu berhampiran Sekolah Menengah Sri Puteri. Waktu itu PWTC belum wujud.

Kami tinggal bertiga selama beberapa bulan di kampung itu dengan sewa rumah hanya RM20. Rumahnya tidak besar, cuma sebesar serambi rumah kampung sahaja. Di situlah kami tinggal sehingga pada tahun 1980 saya berpindah ke Batu Caves tinggal bersama emak.

Kali terakhir saya bertemu Cek lah ialah pada 28 Disember 2010 dan Cek Lah kini mempunyai anak seramai tujuh orang dan beberapa orang sedang menuntut di IPTA termasuk UKM.

Haji Wahid Ahmad

Haji Wahid Ahmad nama yang sukar saya hilangkan dalam sejarah hidup sebagai belia. Beliau bukan orang besar. Jauh sekali seorang sauadara. Haji Wahid hanya seorang jiran yang mempunyai pekerti seorang abang. Malah kalau saya hendak angkat dia sebagai abang pun tiada siapa tahu!

Ketika saya berada di IKBN haji Wahid antara orang yang membantu melihat emak kalau ada sakit demam. Dia anak seorang Bilal di kampung Sungai Batang. Bapanya Haji Ahmad dimana orang kampung memanggilnya Chu Mad.

Haji Wahid berkahwin dengan sepupunya Hajjah Habsah anak emak saudaranya. Mempunyai 3 anak perempuan dan seorang anak lelaki. Ketika membawa lembunya untuk diberi makan dia akan singgah sebentar di rumah saya. Usianya yang lebih tua adari saya maka hormat kepadanya agak lebih sedikit.

Ketika emak jatuh sakit pada tahun 1980 dia adalah orang yang bersusah payah menghubungi Pak Su saya di Seberang Prai. Haji Wahid juga mengirimkan telegeram kepada saya di Kuala Lumpur. Sukar untuk saya membayangkan jasa beliau kepada saya dan emak. Hanya Allah sahaja yang akan membalasnya.

Malahan andai saya ke Kedah, rumah Haji Wahid wajib saya singgah dan tidur. Malahan pada saya dan isteri serta anak-anak beliau lebih dari seorang abang, Malahan andai saya menelefon untuk ke Kedah dia begitu gembira menyambut kami.

Haji Wahid andai dia datang ke Kuala Lumpur dan sekitarnya akan menghubungi saya. Jikalau tiada aral saya pasti akan bertemunya.

Haji Wahid empat dari kiri

24 Januari 2011

Mengaji Al Quran

Masyarakat Kampung Sungai Batang ( kini Tasik Beris) kalau membahasakan orang lebih tua mereka akan memanggil Mak Long. Panggilan itu saya lihat begitu mesra. ada waktunya panggilan itu lebih menghormati seseorang melebihi seorang ibu saudara sendiri.

Emak saya juga tidak lepas disebut Mak Long, Cuma kalau nak lebih jelas panggilan panjangnya Mak Long Teh. Oleh itu orang luar mungkin rasa pelik sebab semua panggilan buat mereka adalah Mak Long atau Pak Long.

Guru mengajar Al Quran saya bernama Pak Long Mad, isterinya Mak Long Yah. Bermula saya kenal ayat-ayat mudah di dalam Al Quran hingga ke khatam Pak Long adalah orang yang bertanggungjawab. Emak saya bukan tak boleh mengajar tapi tahu-tahu sajalah bila mengaji dengan emak sendiri mata cepat mengantuk!

Pada hemat saya, Pak Long Mad dan Mak Long Yah cukup banyak berjasa kepada saya dan keluarga. Mana tidaknya setiap malam emak akan bertandang mengambil saya di rumah mereka. Maklumlah kampung itu gelap gulita tanpa letrik. Oleh itu emak akan mengambil saya selepas tamat mengaji  Quran.

Emak pernah berkata kepada Mak Long Yah agar tidak cemburu kerana sering datang bertandang ke rumahnya. Tapi keluhuran hati Mak Long Yah melebihi seorang kakak kepada emak. Malahan dia menjadi pembimbing buat emak ketika kesusahan selepas kematian ayah.

Banyak panduan-panduan untuk hidup Mak Long Yah berikan kepada emak. Banyak doa yang diajar kepada emak dan akhirnya emak mengajar kepada saya. Itulah jasa yang harus saya kenangkan sehingga kini.

Tiada upah yang emak bayar. Kami beramai-ramai akan ke rumah Pak Long Mad setiap petang sebelum waktu Maghrib. Tugas kami sebagai anak-anak murid hanya membawa baldi ke telaga (perigi) untuk dibawa balik air dan memenuhkan tempayan rumah Tak Guru (kami tidak panggil Ustaz). Itulah aktiviti kami sebelum memulakan pengajian Al Quran. Pengalaman ini mengingatkan saya kaedah yang digunakan oleh pondok pengajian kitab. Malahan pengalaman ini membuatkan saya tidak dapat melupakan kenangan manis ini.

Berkat usaha kami akhirnya ramai yang boleh membaca Al Quran dengan baik. Namun Pak Long Mad sering berpesan, kalau dah habis mengaji dengannya carilah lagi guru-guru Quran untuk mendalamkan lagi bacaan saya.

Seingat-ingat saya Pak Long Mad adalah orang yang membimbing mengenali solat lima waktu. Al Fatihah buat Pak Long Mad dan Mak Long yang saya anggap macam emak saudara kandung.....:(