Azabnya Bersunat

Adik sudah bersunat? Kalau adik seorang yang berani maka kena baca catatan ini. Jika takut kerana ngeri disebut bersunat saya nasihat jangan membacanya. Namun jika nak menjadi orang yang berani maka adik wajib memaksakan diri untuk membaca catatan ini.

Adik-adik yang bersunat cara moden tidak mengalami pengalaman seumpama ini kerana kaedah bersunat saya cara tradisional yang dilakukan pada tahun 1969.

Kawan sebaya saya sudah bersunat. Berjalan pakai kain pelekat tapi kena angkat sikit kat bahagian depan semasa tidur atau berjalan. Berjalan mengengkang dan harus berhati-hati kerana kuatir tersepak batu. Tapi bila mereka terjumpa saya maka sudah pasti saya kena ejek sebab kononnya saya takut nak jumpa dengan Tok Mudim.

Mereka menakutkan saya dengan mengatakan pisau Tok Mudim besar, tumpul. Kononnya ada yang tidak putus semasa kerja-kerja bersunat dilakukan! Wau berpeluh dibuatnya apabila mendengar kisah mereka.

Satu pihak lagi menaikkan semangat saya pula. Jika tidak bersunat kau bukan anak lelaki. Anak lelaki harus berani. Jika sudah bersunat kononnya orang akan takut pada kita kerana kita berani berjumpa Tok Mudim. Paling menarik kononnya anak dara akan mengintai kita sebagai jejaka pahlawan

Akhirnya saya memujuk emak untuk bersunat. Kebetulan pada hari itu Tok Mudim ada kat kampung tu. Emak membawa saya jumpa Tok Mudim di sebuah rumah orang kampung.

Emak mewakilkan kepada seseorang untuk meneruskan acara bersunat (masuk jawi kata orang Kedah). Saya dan dua orang lagi budak lelaki disuruh mandi. Selepas terasa sejuk badan kami diminta naik ke rumah. Budak lelaki yang pertama didahulukan kemudian yang kedua. Saya orang yang ketiga.

Saya didudukkan di atas batang pisang. Saya nampak pisau Tok Mudim. Banyak juga pisau yang digunakan oleh Tok Mudim. Tapi wajah Tok Mudim tidaklah segarang dalam cerita komik. Mukanya tersenyum. Lembut orangnya. Akhirnya saya terhayal dengan senyuman Tok Mudim. Sedar-sedar terasa ngilu teramat sangat tempat yang disunatkan.

Oh tak terkira sakitnya yang saya dapat sebut "adoi sakitnya mak....Mak sakit..nyaaa". Setahu saya masa itu emak berada dibawah rumah menahan hibanya kerana dia terpaksa menerima hakikat anak lelakinya dicederakan demi mengikut Sunnah Rasulalllah. Pembantu Tok Mudim membantu saya mengangkat ke tempat pembaringan. Ngilu masih terasa. Masakan tidak kaedah lama bersunat tidak menggunakan sebarang ubat bius atau ubat pelali lain. Cuma dibekalkan dengan segumpal sirih jampi sebelum pisau bersentuh kulit.

Paling mencabar saya menjalani upacara bersunat tanpa ayah. Seorang emak memang tidak sama dengan seorang ayah. Namun masih saya ingat arwah emak berkata:

"Orang lelaki sekali seumur hidup sakit. Orang perempuan akan sakit setiap kali melahirkan anak. Jika 3 orang makan 3 kali sakit. Jika 10?"

Kata-kata semangat itulah membuat saya terus menjadi anak jantan!. Paling menarik, selepas bersunat semua orang akan mengalami perubahan suara. Itulah kata emak "suara seorang jantan sejati......".

Paling tidak saya dapat lupakan ialah apabila proses mengeluarkan balutan. Emak terpaksa membantu. Sakitnya Allah saja yang tahu sebab kesakitan itu Dia yang berikan!

Menceritakan pasal bersunat hingga kini saya masih terasa ngilu.

Namun adik-adik yang belum mengalami proses ini usaha risau. Kaedah moden boleh mengatasi segala kesakitan. Apa yang penting ia adalah amalan mulia dalam Islam yang kini sudah ramai orang bukan Islam mengamalnya atas faktor kesihatan.

Bersunat jugalah amalan awal mengenai kebersihan yang kita amalkan sebelum Aqil Balir yang akan menentukan tahap kebersihan untuk menunaikan sebarang ibadat terutamanya Solat. Kerana jika tidak (menurut hadis Nabi SAW) kita akan diseksa ekoran gagal menjaga najis kecil sebelum bersolat!

Ulasan

Raja Azrul berkata…
adat bersunat dengan mudim amat kurang dipraktikkan..

sayang..takut-takut nanti pupus begitu sahaja. Harap2 adalah generasi muda yang dapat meneruskan lagi adat ini..
Raja Azrul, saya tiada anak lelaki.

Kalau ada, saya rasa tak sampai hati nak sunatkan cara tradisional. Kesian dia.

Namun ramai tidak tahu, bersunat cara lama membuatkan lelaki lebih gagah dalam mengharung "bahtera cinta" bersama isteri. Namun tiada bukti yang jelas. Nanti kecik hati rakan-rakan yang bersunat cara moden. Adakah itu satu kebetulan?

Tetapi belum ada lagi sejarah mengatakan ada orang mati kerana berusnat cara lama kerana bersunat adalah sunnah.
Raja Azrul berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Saya akan usaha untuk membantu.
Raja Azrul berkata…
terima kasih.

harap saudara dapat membantu saya. Terima kasih sekali lagi.