Belajar Hidup Sendiri

Tahun 1976 membawa saya ke suatu alam baru baru.... tamat persekolahan. Budak kampung apa nak buat lagi, bangun pagi masuk kebun getah tolong emak menoreh getah. Kadang-kala malas juga. Maklumlah menoreh getah mana dapat hasil yang lumayan? Lainlah jika tinggal kat bandar seperti zaman sekarang. Kerja kat setesen minyak dapat lebih RM300 ringgit. Anak saya lepas SPM dapat kumpul gaji RM700 sebulan!

Bila malas nak pergi kebun, mak suruh masak kat rumah. Wau jadi chef! Sebab tu saya boleh bangga diri sejak umur 12 tahun sudah boleh masak nasi. Guna dapur kayu lagi. Setakat nak suruh saya masak lauk dalam senarai seminggu sudah kira ok... Masak kari ikan, kari daging, sambal udang, sambal ikan bilis, sambal petai, sambal sotong, pajri nenas. paling senang sayur tumis air!

Lama-lama terasa juga perbezaan perasaan apabila asyik jadi orang dapur. Mana tidaknya apabila jiran datang tengok saya sedang memasak. Akhirnya saya mengambil keputusan masuk balik ke kebun getah, tapi dengan cara menoreh seorang diri. Seronok juga namun perasaan berbelah bagi apabila mengenangkan harimau, ular tedung, ular kapak, babi hutan.

Pengalaman mengajar saya apabila satu hari seorang usahawan (dulu-dulu orang panggil taukeh) getah sekerap mengajak 'bertugas' dengannya menguruskan perniagaan membeli getah cair, dan getah beku (sekerap). Nama peniaga ni ialah Pak Saad. Saya amat suka tugas baru ini. Dapat pegang duit setiap hari. Paling-paling banyak lima ratus ringgit. Tahun 1976 sebanyak itu cukup banyak.

Saya mulai belajar mengenali alam perniagaan. Saya juga belajar betapa azabnya untuk memperolehi wang sebanyak sepuluh ringgit sehari. Ada orang yang sanggup menipu untuk memperolehi wang biarpun kita tidak nampak menipu.

Bayangkan ketika mereka datang untuk menjual getah beku tedapat air di dalam guni atau baldi. Dua hari selepas itu berat getah tersebut telah berkurangan. Pak Saad naik angin kerana dia rugi. Ada waktunya penoreh getah meletakkan batu atau pasir dalam getah tersebut untuk menambahkan berat. Bukankah itu menipu namanya?

Ulasan