Senarai Blog Saya

12 Oktober 2008

Hebatnya Perkhidmatan Teksi di Sik

Tahun 70an semasa saya tinggal di Sik satu perkhidmatan yang sering digunakan ialah teksi. Bas merupakan antara perkhidmatan yang murah namun jadualnya agak singkat. Perkhidmatan teksi jika sudah masuk jam 5 petang tidak akan beroprasi lagi. Pemandu teksi takut kerana kawasan Sik waktu itu masih terdapat pengganas komunis.

Menariknya pada hari Selasa kerana Pekan Sik terdapat sebuah pekan sehari yang dikenali sebagai Pekan Selasa. Hari Selasalah orang Sik akan berbelanja secara sakan (belanja hebat). Penduduk Sik dari kampung Belantek, Nami, Naka, Gulau, Sungai Batang (kini sudah jadi Empangan Beris, penduduknya tinggal di penempatan baru Seri Beris) akan menjadikan Pekan Selasa sebagai Hyper Market mereka.

Berbagai barangan keperluan akan dijual. Setelah saya tinggal di Lembah Klang barulah saya sedar Pekan Selasa amat murah hasil jualannya.

Berbalik mengenai teksi. Hebatnya perkhidmatannya kerana pemandunya yang sanggup membawa kira-kira 10 orang dalam satu-satu masa. Sedangkan had penumpang sebenar ialah hanya 4 orang!.

Bayangkan penumpang teksi boleh disusun begitu rupa. Pemandunya memandu dengan kaedah sebelah tangan. Satu tangan dilepaskan keluar. Paling mengerikan apabila berselisih dengan lori-lori balak di jalan menghala ke Nami, Gubir yang mempunyai selekoh merbahaya.

Lucunya apabila ada operasi Polis dari Pekan Gurun, pemandu teksi akan menurunkan 4 atau 5 orang ditepi jalan agar tidak disaman oleh polis. Polis tahu kes ini tapi tak boleh buat apa-apa sebab pemandu teksi lebih kreatif.

Syukur sepanjang yang saya ingat tidak pernah berlaku kemalangan ngeri. Cuma adalah sekali tu arwah ayah kawan saya melanggar seorang murid sekolah yang turun dari bas tanpa menoleh kiri kanan terus dilanggar dan diseret sejauh hampir 50 meter. Mati budak sekolah tu.

Tiada ulasan: