Lima Ratus Ringgit

Kampung Sungai Batang merupakan sebuah kampung yang mempunyai taburan hujan yang tinggi. Jika musim hujan akan berlarutan hingga tiga atau empat bulan. Jikalau ada orang yang tidak mahu berusaha maka dapur sudah tentu tidak berasap!

Pekerjaan utama disini ialah menoreh getah,bersawah, berhuma (tanam padi bukit) berkebun. Makan gaji? Tidak ramai penduduk kampung itu makan gaji. Sebab sekitar tahun 1970an belum ramai yang masuk sekolah menengah dan universiti.

Pernah satu tahun getah hanya boleh dijual dengan harga cuma 29 sen sekati (belum guna kilogram). Apa nak makan? Tapi saya dan emak makan juga. Rebus ubi kayu dalam nasi makan dengan ikan masin seekor kongsi berdua. Paling sedap dengan sambal belacan. Ulam kerdas dan jering santapan penyedap selera. Hingga kini jikalau saya terjumpa petai, jering dan kerdas pasti saya makan tidak kira di mana-mana waima kat hotel 5 bintang. Itulah makanan saya semasa susah. Jangan jadi Si Tenggang tau.

Tahun 1975 saya kena ambil SPM. Emak pening kepala. Wang tidak ada. Yalah nak bayar yuran masuk SPM bukan murahkan? Masa tu tahun 1974. Dulu semasa ayah meninggal emak telah mengeluarkan 500 ringgit wang EPF ayah semasa bekerja di estet. Sudah habis buat sekolah saya.

Emak saya penjimat orangnya. Tapi kalau nak kira kedekut dialah juga. Kedekutnya dalam ketogeri berjimat. Wang kertas jika sudah jadi helaian 50 ringgit jangan harab akan ditukarnya. Sebab tu saya percaya orang dulu-dulu mudah pergi Mekah sebab pandai berjimat.

Emak baritahu saya dia ada wang simpanan EPF (KWSP) sebanyak 500 ringgit. Kata emak keluar wang tulah kalau nak ambil SPM.

Dengan restu mak, saya tulis surat ke EPF berpandukan surat lama atas urusan mengeluarkan wang arwah ayah. Selang tidak lama dapat balasan daripada pengarahnya. Surat dalam berbagai bahasa ada English, Melayu, Cina dan Tamil! Mujur saya faham sebab sudah bersekolah hingga tingkatan empat.

Selesai urusan dengan memperolehi tandatangan Tok Penghulu maka tidak lama lepas itu dapatlah mak saya wang 500 ringgit yang diakaunkan ke Buku Pejabat Pos (kini bertukar menjadi Bank Simpanan Nasional).

500 ringgit tahun 1974 begitu besar. Anda yang pakar dalam menilai wang boleh tahu berapa nilainya. Masa tu harga barang cukup murah. Apa taknya gula baru 15 sen.

Tapi gaji seorang penoreh getah bergantung pada harga 29 sen sekati!

Ulasan