Ikhtiar Untuk Hidup

Siapa kata menjadi anak tunggal lelaki dan anak bongsu akan menjadi anak emas emak? Kenyataannya ya. Kerana saya melihat ramai yang berkeadaan begitu. Beruntung bagi mereka yang berada dalam keadaan selesa dengan harta yang banyak peninggalan arwah ayah.

Saya tidak dapat merasai semua itu. Perlu hidup sendiri. Tahun 1976 saya memujuk emak untuk ke Kuala Lumpur untuk menjalani satu kursus penulisan dan kewartawanan dengan sebuah sekolah persendirian. Tuan punya sekolah ini En Ghani Ahmad bekas editor Utusan. Saya tidak tahu beliau dimana sekarang. Saya sudah terputus hubungan sejak hujung tahun 1980-an.

Waktu itu belum banyak sekolah, kolej swasta seperti sekarang. Ghani Ahmad menyewa satu bilik disebuah rumah kedai di Jalan Abdullah Kampung Baru. Tahun 1976 saya pertama kali mengenali Kuala Lumpur dengan menaiki keretapi dari Butterworth. Sebelum itu singgah di rumah Pak Su Lazim (adik emak) di Kampung Padang Jarak, dekat Padang Menora, Seberang Prai. Mak Su membekalkan saya ketupat pulut, rendang kerang dan air teh O satu botol!. Mak Su adik ipar emak, tetapi dia layan saya macam anak sendiri. Anak-anak dia rapat dengan saya macam adik beradik kandung. Mana tidaknya emak bila sesak banyak bergantung pada Pak Su. Pak Su dan Mak Su kini sudah arwah...

Saya teruja dengan Kuala Lumpur. Tahun 1976 sudah membuatkan saya teruja dengan pembangunan KL. Sekarang lagilah KL begitu hebat dengan pembangunan bangunan pencakar langit, komuter, LRT, Express Tren. Tetapi setelah berada 30 tahun di KL hati menjadi cemas tiap kali memandu semasa hujan lebat. Takut banjir kilat dan kereta tenggelam!

Bila datang KL barulah tahu bagaimana kehidupan orang-orang KL. Sebenarnya orang KL tidaklah jahat, songsang dan sebagainya. Yang membuat jahat orang luar KL.

Seminggu berada di KL mengikuti kursus intensif untuk menjadi pemberita. Ghani Ahmad membawa kami seramai 15 orang ke Angkasapuri (RTM), Utusan Melayu. Ketikam itu biarpun di RTM dan Utusan masih beroperasi secara manual tidak secara digital seperti sekarang, namun kekaguman melihat teknologi di situ. Mana tidaknya selalu membaca akhbar, sering mendengar radio dan TV tapi kali ini sudah berada di tempat operasinya.

Kami diberikan tugasan membuat berita di Chow Kit KL. Dapatlah melihat kerenah orang KL. Melihat penjual ubat. Itulah warna-warna KL sehingga kini.

Ilmu yang saya perolehi daripada Ghani Ahmad dapat saya mencari pengalaman menjadi penulis bebas, striger bebas. Terdapat beberapa tulisan saya tersiar di radio dan akhbar. Saya faham bagaimana untuk membuat berita dan rencana.

Sehinggalah satu hari saya ditanya oleh Dato' Badrul Hisham ketika beliau belum menjadi YB dan bertugas di Utusan sebagai pengarang kanan; "kat mana kau belajar menulis ni?"


Saya banyak mendapat peluang menulis di sebuah akhbar tabloid semasa Ghani Ahmad menjadi editor di situ. Pernah juga mendapat peluang menulis di Utusan dengan mengirimkan karya menerusi Dato' Badrul.

Menulis seronok apabila melihat nama keluar di dada akhbar. Tidak dapat duit pun tak mengapa, tetapi puas!

Ulasan

HABIHA69 berkata…
wow..luas pengalaman abang rai nih..kita singgah lagix la ari nih...mmg lah tak semua org. Key Ell jahat tapi tak semua org. keyy ell baik-baik..dan tak semua orang luar yang merantau ke Key ell tu menjadikan Key ell kota jahat...cam mana pandangan abang ttg ini?
Yaaa..... mungkin penilaian itu benar. Yang memajukan KL pun orang luar KL juga. Ramai orang-orang luar KL yang berjaya. Soalnya sebelum saya menjejakkan kaki kat Kl pandangan nagetif terhadap KL memang wujud. Sebab ramai yang datang kat KL cari rezeki secara halal. Jual nasi lemak boleh beli rumah. Jual roti canai jadi kaya.

Pernah saya catatkan kawan baik saya ada dua buah stesen minyak (bukan minyak masak? tau). Saya terkejut sebab dia cuma berkelulusan SPM....!

So... kenapa kita harus jadi perompak dan penjenayah lain untuk hidup? Kerja halal, janji dapat duit. Jual besi buruk pun kelau nak pergi Mekah sudah tentu bolehkan?