Kelas Tusyen

Saya mempunyai kumpulan sahabat yang begitu akrab. Rakan-rakan sekolah. Tajuddin Yahya, Kamaluddin Ismail, Majid Derasid, Antara kami Tajuddin lebih terserlah kerana dia sering dapat nombor satu dalam peperiksaan diamana akhirnya dia belajar di Sekolah Sultan Abdul Hamid (SAH), Alor Star.

Dalam ramai-ramai dia menjadi sebutan Guru Besar, Cikgu Putih bin Ahmad. Tiap kali Hari Guru, Hari Penyampaian Sijil, Hari Sukan nama Tajuddin akan dijadikan idola. Kami tidak cemburu, tapi kami berbangga.

Namun Tajudin pernah memberitahu saya, dia agak tertekan semasa di sekolah SAH kerana bimbang tidak boleh mencapai tahap keputusan yang cemerlang. Dia akhirnya berjaya ke Universiti Pertanian Malaysia (UPM-kini Universiti Putra Malaysia). Sekarang menjadi Guru Penolong Kanan di Sik. Lama saya tidak berjumpa beliau. Mengikut rekod sejarah yang saya ada, Tajuddin orang pertama masuk ke universiti dari Kampung Sungai Batang.

Selepas habis SPM saya mencadangkan kepada rakan-rakan rapat untuk mewujudkan kelas tusyen untuk adik-adik dikampung yang akan menduduki SRP (Sijil Rendah Pelajaran-kini PMR).

Ramai juga orang kampung yang tidak setuju. Maklumlah kami baru lulus SPM. Dah nak tunjuk pandai. Pandai tak pandai akhirnya kami berjaya juga wujudkan kelas tusyen ringkas. Tajuddin ajar Bahasa Inggeris, saya Bahasa Malaysia dan rakan-rakan lain membantu mengajar Matematik, Sains.


Agaknya adik-adik yang jadi "murid-murid" kami tu sebenarnya pandai; akhirnya ramai dikalangan mereka yang berjaya ke manara gading. Seorang ke UPM, seorang ke UKM, seorang ke Azhar.


Sebenarnya ramai orang kampung tidak tahu semasa mengajar kami tidak mengajar subjek yang sebenar namun kami lebih mengajar "motivasi" agar mereka terus belajar tanpa memikirkan kegagalan kerana waktu itu orang kampung beranggapan "belajar tinggi-tinggi pun bukan boleh jadi kaya-buang duit saja"

Natijahnya mereka kini sudah menjadi pegawai besar di beberapa jabatan kerajaan dan sekolah!

Ulasan