KWSP (EPF)

Tahun 1975 saya akan menempuh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Setelah membuat pilihan mata pelajaran, saya mendapati yuran harus dibayar sebanyak lebih seratus empatpuluh ringgit. Saya memandang masa depan yang gelap seperti gelapnya Kampung Sungai Batang yang ketiadaan letrik waktu malam. 

Di mana saya nak minta emak mencari wang sebanyak itu. Sedangkan harga getah hanya 29 sen sekati (belum kilo lagi waktu tu). Paling banyak emak boleh dapat kumpul hanya $50 sahaja sebulan. Mana nak makan dan minum lagi. Hujan jangan difikirkan lagi, kalau turun kadang-kadang sampai tiga bulan walaupun tidak setiap hari. Mungkin sebab itulah agaknya kini Kampung Sungai Batang telah bertukar menjadi Empangan Beris kerana faktor taburan hujan yang tinggi di situ?

Allah telah mengilhamkan emak untuk menyelesaikan masalah ini. Emak kata EPF dia belum dikeluarkan lagi. Saya melihat penyata EPF. Mana saya tahu apa itu EPF ketika itu. Namun, akhirnya saya faham bahawa EPF ialah wang simpanan emak ketika bekerja di estet getah sebelum ini. Pada tahun 1975 wang terkumpul sabanyak $500. Sebelum itu ketika ayah meninggal pada tahun 1969 wang sejumlah itu telah dikeluarkan oleh emak dengan bantuan Cikgu Puteh, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Batang.

Saya bertekad emak harus dibantu. Sedikit kemahiran yang ada saya menulis surat resmi yang diajar ketika di sekolah. Saya menulis dan mengirimkan surat tersebut ke pejabat EPF di Petaling Jaya, Selangor. Sekarang kalau saya melalui Lebuhraya Perseketuan pasti bangunan EPF itu menjadi nostalgia kerana hati  akan berdetik, pada tahun 1975 surat tulisan tangan saya pernah sampai di situ......

Nak menjadikan rezeki, selang tidak berapa lama saya menerima balasan surat yang meminta emak menguruskan beberapa dokumen dan disahkan oleh pegawai kerajaan atau Penghulu. Cara yang mudah saya dan emak telah ke pejabat penghulu di Pekan Sik untuk urusan tersebut.

Allah tidak akan mendorongka rezeki untuk kita andai kita berusaha. Itulah yang berlaku kepada saya dan emak, akhirnya dengan pemberian wang tersebut maka saya  dapat membayar yuran peperiksaan SPM yang begitu tinggi ketika itu. Selebihnya emak menggunakan untuk menampung keperluan hidup seharian kami

Saya akui $500  ketika itu agak lumayan........

*Waktu itu kiraan timbangan masih menggunakan "kati" bukan Kilo. Simbol $ digunakan untuk menunjukkan nilai wang sebelum menggunakan simbol RM ( Ringgit Malaysia).

Ulasan

Unknown berkata…
sedih bila baca catatan ini sebab masih terbayang waktu tu....pak cik raai membawa cebuk untuk mandi di telaga pak su hassan...Cg Puteh pun masih ada lagi...
Terima kasih Zie. Pakcik baru balik Beris Jaya. Namun Pakcik tak sempat ziarah semua rakan-rakan di sana kerana kesuntukan masa