Konvoi tentera & Polis Hutan, Bunyi Motar,

Kampung Sungai Batang merupakan kampung bersempadan Thailand. Cuma jaraknya agak jauh kerana tiada jalan untuk ke sana seperti Baling. Kalau melihat peta, bukit yang terdepat di pinggir kampung itu memang tidak jauh antara 20-30 KM mungkin itulah jaraknya kalau diukur menerusi peta. Cuma tiada jalan ke sana kerana terdapat banjaran bukit.

Oleh kerana ia bersempadan dengan Thailand dan terdapat bukit bukau, maka di situlah terdapat pengganas komunis yang menjadi musuh negara ketika itu.

Saya masih ingat, saya sering dikejutkan dengan bunyi deruan kenderaan tentera atau Polis Hutan (kini Pasukan Gerak Am PDRM). Ada waktunya mereka berkonvoi waktu dinihari sekitar pukul 1 atau 2 pagi. Pernah memakan masa hampir 30 minit konvoi itu melalui kampung itu.

Jika waktu siang, kami kanak-kanak suka berdiri di tepi jalan kerana melihat konvoi tersebut pulang semula ke kem yang terletak di Sungai Petani atau sekitarnya. Inilah peluang kami memperolehi makanan dalam tin yang dicampak oleh anggota keselamatan. Makanan tersebut merupakan baki dari stock makanan mereka ketika berada di dalam hutan bagi tempoh tiga bulan atau lebih.

Ada waktunya  tentera-tentera ini akan berhenti seketika di Kampung Sungai Batang untuk menunggu konvoi dari Sungai Petani. Saya perhatikan ketika ini anggota tentera bagaikan melepas rindu terhadap anak-anak mereka bila bersama kami.

Daerah Sik yang bersempadan dengan Thailand meyaksikan kemunculan pengganas komunis waktu itu. Hampir setiap malam tentera menembak motar untuk memusnahkan sarang pengganas. Beberapa kampung menjadi  kawasan perintah berkurung. Tidak ada orang yang berani melalui jalan dari Sik ke Nami atau Gubir ketika malam, namun pada 27 Disember 2010 yang lalu ketika saya dan keluarga melalui jalan tersebut untuk ke Alor Setar kawasan itu telah dimajukan. Namun masih terdapat projek-projek membesarkan jalan terbengkalai.

Ulasan