Senarai Blog Saya

24 Januari 2011

Mengaji Al Quran

Masyarakat Kampung Sungai Batang ( kini Tasik Beris) kalau membahasakan orang lebih tua mereka akan memanggil Mak Long. Panggilan itu saya lihat begitu mesra. ada waktunya panggilan itu lebih menghormati seseorang melebihi seorang ibu saudara sendiri.

Emak saya juga tidak lepas disebut Mak Long, Cuma kalau nak lebih jelas panggilan panjangnya Mak Long Teh. Oleh itu orang luar mungkin rasa pelik sebab semua panggilan buat mereka adalah Mak Long atau Pak Long.

Guru mengajar Al Quran saya bernama Pak Long Mad, isterinya Mak Long Yah. Bermula saya kenal ayat-ayat mudah di dalam Al Quran hingga ke khatam Pak Long adalah orang yang bertanggungjawab. Emak saya bukan tak boleh mengajar tapi tahu-tahu sajalah bila mengaji dengan emak sendiri mata cepat mengantuk!

Pada hemat saya, Pak Long Mad dan Mak Long Yah cukup banyak berjasa kepada saya dan keluarga. Mana tidaknya setiap malam emak akan bertandang mengambil saya di rumah mereka. Maklumlah kampung itu gelap gulita tanpa letrik. Oleh itu emak akan mengambil saya selepas tamat mengaji  Quran.

Emak pernah berkata kepada Mak Long Yah agar tidak cemburu kerana sering datang bertandang ke rumahnya. Tapi keluhuran hati Mak Long Yah melebihi seorang kakak kepada emak. Malahan dia menjadi pembimbing buat emak ketika kesusahan selepas kematian ayah.

Banyak panduan-panduan untuk hidup Mak Long Yah berikan kepada emak. Banyak doa yang diajar kepada emak dan akhirnya emak mengajar kepada saya. Itulah jasa yang harus saya kenangkan sehingga kini.

Tiada upah yang emak bayar. Kami beramai-ramai akan ke rumah Pak Long Mad setiap petang sebelum waktu Maghrib. Tugas kami sebagai anak-anak murid hanya membawa baldi ke telaga (perigi) untuk dibawa balik air dan memenuhkan tempayan rumah Tak Guru (kami tidak panggil Ustaz). Itulah aktiviti kami sebelum memulakan pengajian Al Quran. Pengalaman ini mengingatkan saya kaedah yang digunakan oleh pondok pengajian kitab. Malahan pengalaman ini membuatkan saya tidak dapat melupakan kenangan manis ini.

Berkat usaha kami akhirnya ramai yang boleh membaca Al Quran dengan baik. Namun Pak Long Mad sering berpesan, kalau dah habis mengaji dengannya carilah lagi guru-guru Quran untuk mendalamkan lagi bacaan saya.

Seingat-ingat saya Pak Long Mad adalah orang yang membimbing mengenali solat lima waktu. Al Fatihah buat Pak Long Mad dan Mak Long yang saya anggap macam emak saudara kandung.....:(

Tiada ulasan: