Cek Lah

Siapa kawan kita dalam hidup ini yang berjasa kepada kita? Sebab itu seorang ayah ibu perlu tahu siapa kawan kita. Malahan seharusnya kita kena kenal siapa kawan anak-anak kita.

Dalam ramai-ramai kawan saya sukar untuk melupai Cek Lah. Dia seorang abang yang mempunyai adik sebaya saya bernama Tajuddin. Saya menjadi karib dengan Cek Lah kerana adiknya rakan sekolah. Emak saya tidak menghalang berkawan dengan Cek Lah. Usianya hampir sepuluh tahun lebih tua dari saya. Walaupun kami mempunyai jarak umur yang begitu jauh, Cek Lah tidak memilih bulu, Oleh kerana dia belum berkahwin dan tinggal hanya dengan adiknya maka rumah Cek Lah adalah tempat saya melepak.

Di rumahnya ada waktunya kami memasak mi segera. Dia suka melayan kami macam kawan-kawannya. Namun saya masih menjaga batasan kerana usia saya begitu jauh dengannya.

Oleh kerana adiknya Tajuddin sedang belajar di UPM maka Cek Lah mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1979 untuk tinggal lebih dekat dengan adiknya disamping bekerja sebagai buruh kontrak. Ketika dia membawa diri ke KL saya kehilangan kawan.

Namun Allah Maha Berkuasa, pada 5 November 1979 saya telah ditawarkan bertugas di UKM. Saya ke KL dan tinggal dengan Cek Lah dan Kamaruddin Ismail di sebuah kampung setinggan bernama Kampung Batu berhampiran Sekolah Menengah Sri Puteri. Waktu itu PWTC belum wujud.

Kami tinggal bertiga selama beberapa bulan di kampung itu dengan sewa rumah hanya RM20. Rumahnya tidak besar, cuma sebesar serambi rumah kampung sahaja. Di situlah kami tinggal sehingga pada tahun 1980 saya berpindah ke Batu Caves tinggal bersama emak.

Kali terakhir saya bertemu Cek lah ialah pada 28 Disember 2010 dan Cek Lah kini mempunyai anak seramai tujuh orang dan beberapa orang sedang menuntut di IPTA termasuk UKM.

Ulasan