Surat khabar

Surat khabar sesuatu yang istimewa di Sik empat puluh tahun lalu. Akhbar perdana mengambil tempat dan menjadi wadah berita yang disukai ramai.

Dalam sebuah kampung boleh dikatakan tidak semua orang yang membelinya Kalau beli pun hanya ketika keluar ke pekan Sik. Waktu itu hanya sebuah kedai sahaja yang menjualnya. Surat khabar akan tiba sekitar pukul 9 atau 10 pagi.

Kampung Sungai Batang kebiasaanya kami membaca di kedai-kedai kopi atau kedai runcit. Kalau ada sepuluh helai muka surat khabar maka akan berpecah menjadi sepuluh orang. Kalau yang membaca mengenai sukan maka bab sukan yang direbut dulu. Rencana-rencana yang berat jarang orang baca. Kecuali kalau ada berita kemangkatan sultan, serang hendap komunis yang melibatkan kejadian di Gubir, Nami, Naka maka berita akan jadi panas. Walhal kejadian itu biasanya telah berlalu hampir seminggu. Oleh kerana sebelum ini sudah ada khabar bahawa kejadian itu berlaku maka apabila surat khabar mengeluarkan beritanya orang kampung akan tercari-cari akhbar.

Pencari kerja akan menggunakan akhbar sebagai sumber rujukan. Saya mendapat kerja di UKM pun sumber iklan adalah akhbar.

Semasa saya berminat menjadi jurufoto dan wartawan, surat khabar adalah sumber inspirasi. Saya berangan-angan nama saya kelaur di dada akhbar. Malahan ketika Mingguan Malaysia menyiarkan foto yang saya rakam pada tahun 1978, saya dikenali ramai.

Tidak dapat dinafikan ketika beberapa surat khabar melayu menyiarklan keputusan nombor ekor, akhbar akan dicari oleh penjudi sebelum masuk kebun!

Ulasan