Senarai Blog Saya

16 Jun 2013

Pak Cik Saad (Tok Saad)

Ketika duduk-duduk di pagi Ahad, kenangan berada di Kampung Sungai Batang datang dengan syahdu sekali. Banyak-banyak kenagan saya teringatkan Pak Cik Saad atau Tok Saad. Nama hebat di kampung saya kerana beliau seorang usahawan getah cair, getah keping mahupun getah sekerap. Waktu itu nama Mardec ada sebuah syarikat membeli getah cair. Pak Cik Saad salah seorang peniaga yang berusan membeli hasilan getah daripada orang-orang kampung.

Saya ditawarkan menjadi pekerjanya selepas tamat persekolahan. Jadi kerani kepada Pak Cik Saad. Kata orang anaknya buta huruf dan tidak mampu mengendalikan perniagaannya akibat kekurangan itu. Namun, soal tenaga tiada masalah. Anaknyalha yang membantu saya mengangkat segala bebanan.

Seronok juga menjawat jawatan itu kerana tidak perlu pergi bertugas awal. Paling awal saya masuk kerja pukul lapan pagi. Macam orang masuk pejabat juga. Tahun 1978-79 minat untuk menjadi peniaga seperti itu mana saya minat. Namun benih-benih untuk minat berniaga sudah ada.

Setiap hari, isteri Pak Cik Saad akan menjamu saya dengan sarapan pagi. Kadang-kadang kalau dia tak sempat buat sarapan saya sarapan di kedai. Sebagai peniaga, Pak Cik Saad mengamanahkan kepada saya wang dalam jumlah yang banyak. Lima atau lapan ratus akan dibekalkan kepada saya untuk urusan jual beli hasilan getah.

Gaji? Tidaklah besar. Perniagaan yang kecil mana mungkin saya dibayar dengan gaji yang besar. Tetapi pengalaman yang saya pungut semasa bekerja membuatkan saya suka. Saya tahu bagaimana untung rugi seorang peniaga (masa tu istilah usahawan belum wujud).

Berbagai pengalaman saya alami. Antaranya bagaimana penoreh getah memasukkan tanah, batu dan kulit pokok getah ke dalam getah sekerap mereka. Dengan memasukkan bahan-bahan itu mereka mengharapkan agar timbangan mereka akan berat. Wau, bukankah itu menipu yang boleh disoal di akhirat kelak? Sedangkan selama ini kita hanya menyentuh perkara ini yang melibatkan peniaga menipu timbangan.

Kerana sikap penoreh menipu maka keesokan hari Pak Cik Saad akan memberitahu bahawa kemerosotan berat bahan getah berlaku ketika dijual kepada paraih. Mana tidaknya ketika penoreh menjual bahan-bahan tersebut ada juga yang memasukkan air.

Tiada ulasan: