Lapor diri di UKM Bangi

5 November 1979 saya meninggalkan Kampung Sungai Batang dengan penuh yakin. Saya tinggalkan seorang ibu di sana dengan harapan setelah mantap di Kuala Lumpu ibu akan dibawa bersama. Memang untuk saya akui itu adalah satu perkara yang sukar dilakukan kerana ibu tinggal seorang diri dengan mengharapkan abang Wahid sahaja melihatnya. Apakan daya dengan gaji hanya 295 ringgit saya fikir masih belum mampu untuk membawa ibu tinggal bersama. Kalau itu adalah satu tindakan yang tidak patut maka saya akui tetapi apakan daya saya korbankan ibu demi masa depan. Ibu saya tinggalkan sejauh lebih 400 kilometer dari KL. Oh, siapa tahu perasaan saya. Hanya Allah sahaja yang menetukan takdir untuk saya.
Ketika saya melapor diri
Masjid UKM sedang dibina

Setelah melapurkan diri di pejabat Pendaftar UKM dan diberikan no pekerja (UKM) 03308 maka sahlah saya seorang Jurugambar UKM. Satu kerjaya yang impi-impikan setelah tamat pengajian di Pusat Latihan Belia Peretak (PLBN) kini Institut Kemahiran Belia Negara Peretakn (IKBN Peretak). Saya diminta melapurkan diri ke UKM Jalan Pantai Baru KL. Ketika itu UKM masih mempunyai kampus sains di sana. Di Fakulti Sains UKM saya melapurkan diri di bilik Dekan pada waktu itu ialah Dr Zawawi Ismail ( kini YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. M. Zawawi bin Ismail, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM). Saya diberitahu oleh Prof Dato' Zawawi ketika itu beliau masih muda dan baru mentadbir Fakulti Sains.

Setelah melapurkan diri di pejabat Dekan saya diminta pergi bertugas di Jalan Universiti Petaling Jaya. Di Jalan Universiti terdapatnya komplek makmal sains. Di sanalah tempat melahirkan ramai saintis negara dalam Bahasa Melayu.

Kira-kira seharian saya baru selesai melengkapkan masa dengan urusan mendaftar diri sebagai kakitangan UKM. Perjalanan yang agak jauh. Namun saya puas kerana akhirnya saya berjaya mempunyai kerjaya di sebuah kota kosmopolitan. Saya diletakkan bersama seorang senior berjawatan Pembantu Makmal, namanya Khalil Alwi (kini Haji).

Mulai saat itu saya kena belajar untuk menjadi orang gomen. Khalil mengajar saya semua aspek. Masuk kerja pukul berapa dan balik pukul berapa. Masih saya ingat, waktu itu kakitangan kerajaan masuk kerja pukul 8 pagi dan baliknya 4 petang.

Ketika itu saya bekerja di bawah sistem gaji kabinet dengan gaji permulaan $295 dan gaji mati hanya $ 570. Tanda $ ada lah simbol matawang Malaysia sebelum menggunakna RM (Ringgit Malaysia). Wang sebanyak itulah saya gunakan untuk makan, tambang bas, sewa rumah dan lain keperluan termasuk kirimkan wang kepada ibu.

Oleh kerana saya bertugas di Petaling Jaya, abang Lah mencadangkan saya tinggal bersama-samanya di perkampungan setinggan, Kampung Seri Batu pinggir sungai dan berhampiran Sekolah Seri Puteri dan kini telah terbangunnya PWTC. Di sini saya tinggal bersama Kamaludin Ismail (anak Pakcik Mail). Sewa rumah $20 bahagi tiga orang. Rumahnya sekadar serambi rumah yang berkongsi dengan rumah tuan rumah.

Kehidupan di sebuah kampung setinggan saya rasai dan ia memberikan satu pengalaman yang indah dan sukar dilupakan.

Ulasan