Senarai Blog Saya

30 Julai 2013

Lokasi tempat kerja

Seksyen 16 Petaling Jaya (PJ) adalah tempat saya bertugas. Di sini terletaknya komplek makmal Fakulti Sains. Kawasan makmal ini lebih dikenali sebagai Kolej Islam kerana ia pernah menempatkan Kolej Islam sebelum berpindah ke Klang, Selangor. Walaupun di Jalan Pantai Baru KL terletak pejabat Dekan, Ketua-Ketua Jabatan namun terdapat juga makmal di sana. Namun di PJ terdapat Mikrobiologi, Fizik, Kimia, Zoologi, Botani. 

Nama-nama seperti Kasim Rejab (Allahyarham), Aziz, Razali Jaman, Rahim Othman, Md Zain Sood, Aziz Ramdan, Mimi Nora, Habsah Hassan, Mokhtar Hassan, Yusoff (Allahyarham), Haji Dali Sharif, Ripin Sinin (dikenali sebagai Wak Ipin, Allahyarham) adalah nama-nama Pembantu Makmal veteran yang diperkenalkan kepada saya oleh Khalil. Menariknya ketika saya masuk kerja pada tahun 1979, Khalil sedang bercinta dengan Mimi Nora.

Kakitangan makmal yang saya senaraikan diatas adalah warga UKM peringkat awal yang menjadi perintis dalam pembukaan makmal sains di UKM. Sebagai makluman, Fakulti Sains adalah fakulti pertama yang diwujudkan semasa penubuhan UKM pada 18 Mei 1970. UKM dibangunkan dengan jerit perit azam orang Melayu oleh itu ketika penubuhan tiga fakulti menjadi perintis, Fakulti Sains, Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Sains Kemasyarakatan & Kemanusiaan (kini Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan).Lihat rujukan di sini

Komplek makmal UKM berkongsi dengan Maktab Perguruan Islam-MPI (Kini Institut Perguruan Islam di Bangi). Ketika saya masuk kerja Pengarahnya ada Tan Sri Abdul Hamid Othman (Allahyarham). Pernah Md Zain (Haji) Pembantu Makmal Prasitologi memberitahu saya, "haaa, tu pengarah MPI...orang Sik". Saya hanya senyum dan tidak pernah bertemu dengan beliau, almaklumlah Tan Sri Hamid manalah kenal dengan saya. Tapi saya sering melihat beliau dengan penampilan seorang guru. Tan Sri Hamid kemudiannya menjadi Ahli Parlimen Sik, Kedah. Lihat rujukan di sini.

Berhadapan komplek makmal sains terdapat Makmal Perubatan Kementerian Kesihatan. Oleh itu kawasan kami bertugas meriah dengan kakitangan kerajaan termasuk UKM. Kemeriahan ini lebih terasa kerana di  kawasan makmal sains terdapat Masjid Ar Rahman yang menjadi tempat bersolat ahli jemaah di sekitarnya.

Tiada ulasan: