Senarai Blog Saya

30 April 2020

Kisah Kemiskinan Saya

Inilah tapak kampung Sungai Batang.
Kini sudah jadi Tasik Beris
Saya anak tunggal dari perkahwinan ibu dengan ayah. Ayah meninggal ketika usia saya 11 tahun. Saya dan ibu hidup dalam kemiskinan dengan mengambil upah menanam padi, menuai padi.
Kerjaya tetap ibu menoreh getah kebun orang dengan sistem pawah yakni jika dapat 10 kati (dulu belum guna sistem kilo) bahagi dua dengan tuan tanah.
Bagi saya kemiskinan kami tidak heboh kerana makanan cukup walaupun ada waktunya berlaukkan ikan masin (sebab tu agaknya saya kena Batu Karang) dan sayur kampung yang ditanam oleh ibu.
Kehidupan seorang balu saya rasai menerusi pengalaman ibu. Malah ketika harga getah begitu murah iaitu 29 sen sekati kami masih tidak kebuluran. Semasa peristiwa kebuluran di Baling saya dan ibu makan ikan masin kongsi berdua.
Ketika di Sekolah Menengah Sik, saya tidak mempamerkan kemiskinan tetapi tidak pula menonjolkan kemewahan. Malah arwah guru disiplin pernah saya ceritakan ketika berkunjung ke rumahnya setelah bekerja dengan dialog "Cikgu pernah rotan saya kerana rambut panjang. Sebenarnya waktu itu saya tak ada wang nak gunting rambut", Cikgu Abdullah Ahmad A berubah wajah.🤔
Bagi saya kemiskinan itu takdir yang harus diterima oleh seorang anak kerana warisan ibu ayah. Saya tak menyesal. Malah pernah meminta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan tak dapat dengan alasan "Makcik ada kerja dan anak hanya seorang lelaki pula tu". Saya tak pernah berdendam dengan pegawai tersebut.
Walaupun pusat zakat tidak pernah menghulur sesen pun kepada ibu mungkin masa itu pengurusan belum teratur seperti sekarang saya tak pernah berdendam. Malah saya antara penyumbang zakat kini (terpaksa bagitau...).
Lebih berlinang air mata saya setiap kali membuat Dialisis, mesin yang mencuci darah saya adalah sumbangan Pusat Zakat Selangor. Malah ada pesakit yang bersama saya mereka menerima bantuan untuk cuci darah dari pusat zakat.
Kini saya tidak sekaya orang lain tetapi tidak miskin macam 40 tahun dulu. Saya pernah membina legasi sendiri dalam bidang fotografi walaupun hanya makan gaji. Saya sayang bidang ini. Namun sejak tidak sihat saya tinggalkan bidang ini selepas bersara dari UKM. UKM adalah lubuk rezeki saya.
Alhamdulillah saya sudah menunaikan haji hasil rezeki Allah beri dan juga telah dua kali menunaikan umrah. Saya beritahu bukan apa ia sekadar motivasi bagi orang ekonomi setaraf saya. Anda tidak miskin.
Tahun ini saya sudah mendaftar untuk membuat haji badal buat bonda dan ayahanda. Cuma dalam keadaan wabak Covid-19 mungkin haji badal ini ditunda ke tahun depan.😥
Kisah saya ialah usah kutuk pusat zakat jika ada sedikit kelemahan. Usah dikacau pada orang yang membuat sumbangan. Jika kita cemburu, tirulah gayanya tambahan di bulan Ramadan ini.👍

Tiada ulasan: