Dari Daerah Permai Ke Lembah Rezeki

 Tahun 1968 ayah membawa saya, emak merantau ke Sungai Batang, Sik. Sebagai kanak-kanak lelaki baru berusia 10 tahun saya tidak mengerti apa-apa tentang kehidupan orang dewasa. Suka atau tidak, saya hanya akur dengan penghijrahan itu. Maka bermula tahun 1968 saya menjadi sebahagian penghuni sebuah kampung di pedalaman Kedah.


Pekan Sik sebelum dibangunkan - 7 Jun 2002. Foto oleh Raai Osman



Kampung ini terletak dipinggir sebuah bukit yang dinamakan Bukit Besar yang diceritakan bersempadan dengan Negara Thailand. Waktu pengganas komunis masih menjadi musuh utama negara. Maka tidak hairanlah saban malam terdengar bunyi tembakan motar oleh tentera kita menghalau musuh-musuh. Justeru, bunyi kereta kebal askar-askar sudah menjadi perkara yang amat lumrah sejak menjadi warga Kampung Sungai Batang.


Di mana terletaknya Kampung Sungai Batang anda akan perolehi maklumat setelah mengikuti catatan sepenuhnya. Kampung ini terlalu istimewa buat buat saya walaupun bukan kampung asal tempat tumpah darah saya.



Selepas mendapat keputusan SPM tahun 1975, saya tidak meneruskan pelajaran kerana ketiadaan wang. Ibu saya hanya seorang penoreh getah dikebun kepunyaan orang di sebuah kampung pedalaman Sik, Kedah. Semasa petang jikalau musim menanam padi ibu akan pergi mengambil upah menanam padi. Sekiranya musim menuai dia akan mengambil upah memotong padi. Itulah ibu saya. Namun kami tidak pernah kebuluran biarpun ketika itu harga getah hanya 29 sen sekati (bukan kilogram!). Ayah telah kembali ke rahmatullah ketika usia saya 11 tahun iaitu pada tahun 1969.


Tahun 1976 saya belajar menjadi penulis, pemberita dengan mantan Editor Utusan Malaysia En.Ghani Ahmad. Tahun 1977 saya menjadi pelatih di Pusat Latihan Belia PERETAK (kini Institut Kemahiran Belia)mengambil kursus senifoto tahun 1977.


Saya pernah menjadi penoreh getah,merasai peritnya hidup dengan harga getah cuma 29 sen! Tapi harga barang masih murah. Pernah mengambil upah menjadi pekerja kepada usahawan getah sekerap dan susu getah cair. Pernah mencuba mencari bijih secara haram! Pernah menjadi pemberita sambilan. Hanya dengan tulisan tangan, cerpen saya pernah disiarkan dalam Radio Malaysia. Hasilnya saya dapat membeli starika dan mesin taip. Kedua-dua barangan itu masih ada hingga kini dimana starika iru masih boleh digunakan oleh isteri dan anak-anak. Itulah berkat rezeki yang halal.



Pengalaman saya meningkat apabila pada tahun 1979 menjawat jawatan Jurufoto di UKM. Paling menyeronokkan mulai 1 Januari 1997 hingga kini saya merupakan tenaga pengajar sambilan di UKM. Hingga hari ini saya menyimpan banyak kisah duka, luka dan bahagia. Semua kisah saya dan kisah rakan-rakan.


Untuk melihat lebih banyak profil saya sila klik pada tajuk Profil Penuh.




Menerusi ruangan ini saya akan mengemaskinikan dari masa kesemasa mengikut kelapangan masa saya. Justeru, anda akan mendapati kisah ini akan terhenti untuk beberapa waktu. Mohon maaf andainya kisah di bawah akan terhenti untuk jangkamasa yang lama kerana ada waktunya saya tidak mempunyai waktu menulis. Namun yang pasti setiap tulisan akan bersambung.


Perjalanan kehidupan kita sebenarnya jauh. Namun begitu usia kita tidak panjang mana untuk menghadapi kehidupan yang pebuh dengan ranjau dan onak ini. Kita berkemungkinan bersemangat pada satu-satu peringkat, namun tidak dapat dinafikan ada waktunya kita jadi lemah dalam mengharungi gelombang kehidupan ini.


Saya menamakan blogg ini sebagai Dari Sik Ke Bangi kerana Sik menjadikan sejarah hidup saya penuh dengan dugaan. Di sana saya memasang angan-angan. Namun angan-angan itu bukan angan-angan kosong kerana bermula tahun 1979 saya memulakan satu permulaan sejarah yang menarik ketika melapurkan diri di Universiti Kebangsaan Malaysia.


Saya menjawat jawatan Jurugambar dengan gaji hanya RM295!!. Tinggal di Kuala Lumpur dengan gaji sebanyak itu memang azab. Namun waktu itu masih bujang. Tapi cuba bayangkan apabila ibu saya(arwah)bertanya tentang perkahwinan!!! Saya amat teruja. Namun atas dasar tidak mahu menduhaka, saya memberikan alasan masih mahu membahagiakan ibu dengan gaji sebanyak itu!


Itu realitinya sehingga saya berpindah ke kampus UKM Bangi pada tahun 1982. Pada tahun 1985 saya berkahwin. Tapi yang tentunya menjadi sejarah semasa saya berkahwin gaji belum lagi RM1,000. Tapi saya bahagia apabila tahun 1989 saya boleh memandu sebuah kereta dan waktu itu isteri sedang mengandungkan anak pertama.


Bangi, Selangor mengajar erti kenyataan. Sik, sebuah daerah di pedalaman Kedah tempat saya memasang angan-angan. Betulkah angan-angan itu tiada berfaedah? Ah, kata Dr. H.M. Tuah angan-angan itu baik untuk membina kenyataan.


1979

5 November; 9.00 pagi saya tiba di kampus UKM di Bangi mendaftarkan diri sebagai Jurugambar. Selepas itu saya diminta melapurkan diri di kampus UKM Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur. Fikirkan pada mulanya kena kerja di Bangi. Aleh-aleh kena kat Kuala Lumpur. Masih saya ingat saya masuk melapurkan diri dengan Prof.Dr.Jalaini Sukaimi (kini Dekan FST Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai)


Oleh kerana beliau agak sibuk waktu itu saya disuruh berjumpa Prof. Dato Dr Zawawi Ismail (mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak).


Proses melapur diri selesai saya diminta ke makmal Fakulti Sains UKM di Jalan Universiti Petaling Jaya, Selangor (seksen 16).


Menariknya waktu itu barulah saya mengenali Petaling Jaya. Sekali gus saya juga mengenali Bangi, Petaling Jaya, Kuala Lumpur. Kampus utama UKM di Bangi. Pejabat urusan di Jalan Pantai Baru, bertugas di Jalan Universiti Petaling Jaya. Saya menyewa rumah (sebulan hanya RM20 sahaja) bersama rakan-rakan dari Sik di kampung setinggan Jalan Kuching. Nama kampung itu ialah Kampung Batu, tepi Sungai Gombak. Berhampiran Sekolah Seri Puteri. Kabarnya kampung itu telah tiada!


Kami menyewa bertiga. Cek Lah (abang Lah), Kamaluddin (Din Mail) bertugas sebagai Pembantu Luar di RISDA. Sesekali hujung minggu datang Tajuddin adik Cek Lah yang berlajar di UPM. Cek Lah sebenarnya datang ke KL atas sebab adiknya belajar di UPM. Katanya senang jikalau adiknya kekeringan wang.


Pernah satu pagi dia sedang berbincang dengan adiknya (sebaya saya, satu sekolah pun dulu) dia kata wang gaji tauke belum beri. Apabila saya dengar saya tak sampai hati. Langsung saya pinjamkan RM20.Besar tau nilai duit waktu tu jika RM20. Jadi apabila tinggal kat KL baru sedar erti sahabat.


Tinggal kat kampung setinggan ni pun bukan rumah, tapi kami menyewa serambi orang yang namanya Abang Taridi, kerja kat Universiti Malaya. Baik orangnya. Walaupun beliau tuan rumah tapi keluarganya macam keluarga kami. Tambahan wajah isterinya mirip wajah kakak sepupu saya.


Setiap bulan puasa (Ramadhan) kami diberi juadah. Pernah sekali pinggan yang dihantar bersama kueh belum dipulangkan anaknya datang meminta, kata saya kami tak ada kueh nak balas, anak dia kata tak apa mak nak beri kueh lagi. Itulah membuatkan saya teringat hingga kini.


Sewa rumah RM20 sebulan, kongsi tiga orang. Murahkan? Tapi harus ingat, saya pernah berkata waktu tu gaji saya cuma RM295, tanpa apa-apa alaun. Naik bas turun bas pergi kerja. Tapi saya enjoy! Maklumlah saya baru kenal KL. Sebut saja ceruk mana saya tak sampai. Tapi ada juga yang saya tak cekap. Maklumlah KL besarkan? Tapi Insyaalah dengan tugasan sebagai Jurugambar membuatkan saya boleh sampai di mana-mana hotel yang terkenal di KL. Makan free jangan cakap. Sebab tu badan saya boleh jadi bulat (gemuk) macam sekarang.


Harus saya beritahu, kerja yang saya dapat UKM khas buat ibu saya demi mengubah masa depan kami. Justeru, walaupun gaji saya kecil tapi saya "mewah" hingga kini (1979-2007)



1980


Selepas solat Jumaat, seorang rakan datang. Saya panggil dia abang Zali (Razali Jaman). Dia bertanya dalam loghat Kedah "Hang dah makan belum". Bila saya berkata sudah makan sebelum solat Jumaat, dia menghulurkan sehelai kertas telegram. Telegram itu memberitahu bahawa emak saya sakit di Kedah. Tukang hantarnya abang Wahid jiran mak saya. Tanpa membuang masa saya balik ke rumah sewa dan mengemas apa yang patut. Selepas memaklumkan kepada abng Lah yang tinggal serumah, saya ke Pudu Raya. Untuk cepat saya mengambil keputusan naik teksi untuk balik ke utara (Kedah). Teksi terus kesana tiada, tapi teksi untuk ke Ipoh ada. Pemandu teksi mencadangkan saya naik teksi ke Ipoh dan boleh dapatkan teksi ke Butterworth,Penang.


Saya menaiki teksi kira-kira jam 4 petang ke Ipoh dengan tambang RM10. Tiba di Ipoh lebih kurang jam 10 malam. Ketika perjalanan ke utara masih menggunakan jalan lama kerana lebuhraya belum dibina.


Sesampai di Ipoh satu lagi masalah timbul teksi ke Butterworth,Penang tak ada. Namun pihak pemandu teksi yang ada disitu meminta saya bersabar kerana mereka memberikan pengakuan teksi akan ada. Itulah kali pertama saya mengalami satu situasi yang mendebarkan berada ditempat orang. Keadaan ini mengajar saya erti musafir.


Pukul 1 pagi seperti yang janjikan oleh pihak di perhentian teksi, saya dapat juga sebuah teksi untuk perjalanan ke Butterworth, Seberang Prai.


Syukur jam 5 pagi saya selamat sampai Butterworth. Dari situ saya menaiki teksi untuk ke rumah Paksu ke Padang Menora,Tasek Gelugor dengan harapan emak saya ada disana. Jangkaan itu saya buat kerana berdasarkan pejabat pos yang mengirimkan telegram adalah dari Tasek Gelugor. Tapi jangkaan saya meleset apabila saya naik ke rumah Paksu emak tiada.


Setelah saya bertemu Paksu dan Maksu barulah saya ketahui emak saya berada di Kedah. Telegram yang dihantar oleh jiran saya dari Seberang Prai. Hari itu hari Jumaat negeri Kedah bercuti jadi jiran saya menggunakan khidmat telegram di Seberang Prai.


Selepas menjamu sedikit sarapan pagi saya bertolak balik ke Kedah.


Bermula dari sinilah saya memahami erti rindu seorang ibu. Rupanya ibu saya merindui saya. Saya memberitahu abang ipar yang berada di Kluang Johor. Mereka datang. Kami mengambil keputusan untuk membawa emak ke Kluang tinggal dengannya. Selang enam bulan saya membawa emak tinggal dengan saya di Kampung Melayu Batu Caves. Kami menyewa sebuah rumah dengan harga RM75.


1982


Tahun 1982 saya dan warga Fakulti Sains UKM perlu berpindah ke Bangi kerana bangunan baru telah siap. Mulai tahun ini juga sejarah UKM telah tercipta apabila Fakulti Sains berpecah (distrukturkan)kepada empat fakulti. Mulai tahun ini juga wujudnya Fakulti Sains Hayat, Sains Fizik dan Gunaan, Sains Matematik dan Sains Sumber Alam (di kampus Sabah) sehinggalah tertubuhnya Universiti Malaysia Sabah (UMS) Fakulti Sains Sumber Alam "dibawa" balik ke Bangi.


Oleh sebab tempat bekerja akan berpindah ke Bangi, maka saya perlu mencari rumah sewa sekitar Bangi. Mustahil saya hendak berulang alik dari Kuala Lumpur. Jauh. Dengan gaji yang kecil sekitar RM 400 mana mungkin saya berbuat begitu.


Pada satu hari Ahad saya dan Majid (sahabat dari kedah) telah datang ke Kajang mencari rumah sewa. Seluruh pekan Kajang saya dan Majid mencari rumah, namun hampa. Ada tu adalah tapi perlu sewa bilik dengan orang lain. Saya tidak mungkin berbuat begitu.


Sehinggalah pada suatu hari saya terserempak dengan "abang Din". Beliau menegur saya setelah mengecam dari loghat kami berdua ada gaya orang Sik bercakap. Akhirnya kami baru tahu beliau berasal dari Pekan Batu Lima Sik. Abang Din berkahwin dengan Kak Ani orang Kajang. Bertugas dengan Lembaga Letrik Negara (LLN), Kini TNB. Dengan bantuan beliau saya berjaya menyewa rumah di Kampung Datuk Abu Bakar Baginda.


"Sewanya 120 sebulan.' kata Wak Ahmad (tuan rumah Hj. Ahmad bin Karto (sudah arwah) -namanya sudah menentukan dia orang Jawa)


"Tanda jadi Wak nak berapa?"tanya saya.

"Allah senang saja, bagilah berapa yang awak nak bagi...."balas Wak Mad dengan pekat loghat Jawanya.

"20 puluh Wak?"

"Boleh saja.Kalau tak jadi sewa,datang ambil balik....!"

Eh, baik benor Wak ni bisik saya kepada Majid. Majid tersenyum

"Aku rasa rumah ni sesuai sangat dengan Mak Mu" balas Majid.


Ahad depan aku, emak dan Majid datang mencuci rumah Wak Mad. Semasa mencuci rumah datang isteri Wak berbual dengan emak aku. Ahh macam itik bertemu ayam


Apa tidaknya, seorang dengan loghat Kedah masih pekat (mak aku). Sorang bahasa Jawa yang juga pekat. Tapi peliknya masing-masing boleh berkumonikasi dengan berkesan. Kadang kala saya lihat mereka terdiam. Mungkin tak faham istilah.


Bagi saya, Kampung Datuk Abu Bakar Baginda cukup meninggalkan kesan kerana ia mempunyai sejarah tersendiri.


Di sinilah saya mengenali masyarakat Jawa. Pertama kali saya menjamah "Nasi Ambeng" yang asli dibungkus dalam daun pisang.


Tahun 1982 menyaksikan perubahan dalam sejarah UKM apabila Fakulti Sains berpindah ke Bangi setelah distrukturkan menjadi empat fakulti. Fakulti-fakulti terebut ialah, Sains Hayat,Sains Fizik dan Gunaan, Matematik dan Sains Sumber Alam. Fakulti Sains Sumber Alam ditempatkan di UKM Sabah sehinggalah tertubuhnya Universiti Malaysia Sabah (UMS) fakulti tersebut dibawah balik ke Bangi.


Sebagai makluman tahu 1999 sekali lagi berlaku pengstrukturan dan saya akan terangkan dalam bab tahun 1999.


UKM terletak 26 kilometer di selatan Kuala Lumpur. 5 kilometer dari Bandar Kajang. UKM terletak di Bandar Baru Bangi yang pesat membangun dimana terdapat beberapa institute latihan, universiti swasta. Industri ternama. Oleh kerana UKM antara institut pengajian tinggi yang pertama di Bangi, maka kami sebagai staff mengharungi kesusahan pada peringkat awal berada di sini.


Tahun 1982 Bandar Baru Bangi belum membangun lagi. Banyak tanah masih belum diteroka. Hutan sawit, getah menjadi pemandangan biasa. Udaranya nyaman. Malahan sorang Ahli Parlimen di Segamat mencerita kepada saya semasa beliau menuntut di UKM, ada masanya beliau menorah getah untuk mencari wang saku. Pokok getah yang beliau maksudkan ia itu dikawasan Kelab Danau masa kini (kelab gofl UKM).


Sistem pengangkutan? Macam sistem kampung lagi. Cuma ada satu syarikat bas dari Kajang (bas Sum). Jika nak ke KL kena naik satu lagi bas (bas Foh Hup).


Sekarang? Jangan bandingkan lagi dengan 30 tahun dulu lagi! UKM boleh berbangga dengan system pengangkutanya. Siapa tidak tahunkometer yang merintasi kampus UKM? JIkalau anda menaiki tren ini dari KL ke Seremban pasti akan mendengar pengumuman pemandunya yang menyebut “Stesen UKM”! Bas Rapid KL dan teksi-teksi juga menjadi pengangkutan utama di UKM disamping bas-bas UKM sendiri yang memberikan perkhitmatan kepada ribuan warga UKM, khususnya pelajar.


Oleh kerana ketika itu tidak banyak organisasi yang wujud di Bangi, maka kelompok pergaulan kami hanyalah dikalangan staff UKM sahaja. Pensyarah menjadi akrab dengan pekerja-pekerja bawahan. Pelajar menjadi lebih mesra dengan staff. Justeru itu kemesraan terjalan menjadikan kelompok kami agak terhormat.


Akibat keadaan itu menjadikan soal jodoh pun dipengaruhi oleh keadaan itu. Sebab itu ramai dikalangan staff UKM yang bertemu jodoh dengan orang sekeliling. Jangan terkejut ramai dikalangan kami mempunyai isteri,suami dari kalangan staff UKM. Tidak kurang juga yang bertemu jodoh dengan pelajar UKM sendiri!!


Ramai rakan-rakan saya menyewa rumah sekitar Kajang. Di Bandar Kajang memiliki banyak kemudahan. Kedai makan, kedai-kedai untuk barang keperluan mudah diperolehi di Kajang. Tinggal di Kajang memudahkan mereka jikalau hendak ke Kuala Lumpur.

Berbalik kisah tinggal di Kampung Dato Abu Bakar Baginda (Kg DABB). Oleh sebab saya menjaga emak. Maka saya lebih selesa tinggal di kampung. Biarpun banyak kemudahan tiada, tapi saya tidak mahu emak mengalami tekanan perasaan bila tinggal di Bandar.


Saya melibatkan diri dengan kegiatan belia di kampung tersebut. Tambahan tuan rumah, Abu Naim (arwah) merupakan seorang aktivis politik bersama Dato Hj. Kamaruddin maka saya berpeluang menyertai kegiatan belia 4B kampong itu. Malahan saya berpeluang menjadi AJK untuk sama-sama berkhidmat untuk belia-belia di situ. Abu Naim mengetahui saya seorang lepasan Pusat Latihan Belia Peretak, maka saya lebih dipercayai untuk membantu kegiatan persatuan mereka.


Bak kata pepatah, masuk kandang lembu menguak, maka saya mengambil peluang ini untuk terus mengasah bakat yang telah lama dibawa dari Sik. Namun saya berhati-hati tidak mahu nanti dikata orang hendak menunjuk belang di tempat orang.


Minat saya terhadap kerja-kerja kemasyarakatan memanglah tinggi. Namun oleh kerana saya adalah orang mendatang di kampung orang maka saya perlu berhat-hati.


Saya pernah menyaksikan perjumpaan Dato Hj. Suhaimi Kamaruddin sering datang ke rumah Abu Naim. Ketika itu Dato Hj. Suhaimi menjadi Ahli Parlimen Sepang. Setiausaha beliau ialah Cikgu Sharif yang akhirnya menjadi Ahli Yang Behormat Parlimen Sepang.


1983


Tahun 1983 mencipta tersendiri dalam hidup saya kerana pada tahun ini saya bertemu gadis pilihan. Gadis tersebut staff UKM juga. Maklumlah kami (warga kerja UKM) waktu itu berkumpul antara kami sahaja. Organisasi kerajaan, industri belum berkembang seperti sekarang. Tidak hairanlah ramai dikalangan kami bertemu, bercinta dan berkahwin dengan kalangan warga UKM.


Tidak dapat dinafikan faktor bertemu semasa urusan kerjaya membuatkan kami menjalin hubungan "percintaan". Ada waktunya kami tidak menyedari perkara ini terjadi, namun setelah lama berkawan akhirnya perasaan kasih sayang tidak boleh diselindung lagi.


Masih segar dalam ingatan waktu itu saya telah menerima tawaran daripada Universiti Utara Malaysia sebagai Jurufoto. Kononnya ingin balik ke negeri asal (Kedah) namun atas nasihat ibu, saya batalkan tawaran itu.Itulah takdir. Kerana nasihat ibu akhirnya kami bertemu jodoh setelah bertunang pada tahun 1984 dan bernikah tahun 1985.


Namun dalam diari saya tahun 1983, 1984 dan tahun 1985 terlalu bermakna dalam hidup saya.


Jika sebelum ini saya amat berhati-hati dalam soal memilih jodoh kerana amat bimbang sesuai atau tidak dengan emak saya namun dengan takdir Allah saya bernikah juga dan dapat duduk sebumbung dengan emak saya. Memanglah dalam hidup bersuami isteri disamping menjaga seorang ibu amat payah untuk membahagi kasih.


Biarpun kasih kita kepada Ibu dan Isteri amat berbeza, namun anda harus ingat mereka seorang wanita. Kita perlu faham masalah ini dalam mengendalikan sebarang masalah!


Jika berminat untuk terus membaca catatan ini, saya mempelawa anda mengikuti catatan yang akan dipecahkan mengikut tajuk-tajuk kecil. Semoga kisah saya menjadi panduan anda dalamm mengharungi kehidupan seharian.


Hidup ini tidak mudah, kerana kehidupan ini penuh dengan cabaran. Pastinya saya dan akan terus berjuang untuk hidup!


Sila baca tajuk-tajuk di bawah




__________________________________________________________________________________


Sila tempah buku memoir Aku Seorang Jurufoto. Harga RM 40.00 pos RM 6.00 | Sila hubungi di Whatsap 0193393308






Taman Desa Sentosa,Bangi;Selangor.

Ulasan