13 September 2020

Dari Daerah Permai Ke Lembah Rezeki

 Tahun 1968 ayah membawa saya, emak merantau ke Sungai Batang, Sik. Sebagai kanak-kanak lelaki baru berusia 10 tahun saya tidak mengerti apa-apa tentang kehidupan orang dewasa. Suka atau tidak, saya hanya akur dengan penghijrahan itu. Maka bermula tahun 1968 saya menjadi sebahagian penghuni sebuah kampung di pedalaman Kedah.


Pekan Sik 7 Jun 2002



Kampung ini terletak dipinggir sebuah bukit yang dinamakan Bukit Besar yang diceritakan bersempadan dengan Negara Thailand. Waktu pengganas komunis masih menjadi musuh utama negara. Maka tidak hairanlah saban malam terdengar bunyi tembakan motar oleh tentera kita menghalau musuh-musuh. Justeru, bunyi kereta kebal askar-askar sudah menjadi perkara yang amat lumrah sejak menjadi warga Kampung Sungai Batang.


Di mana terletaknya Kampung Sungai Batang anda akan perolehi maklumat setelah mengikuti catatan sepenuhnya. Kampung ini terlalu istimewa buat buat saya walaupun bukan kampung asal tempat tumpah darah saya.



Selepas mendapat keputusan SPM tahun 1975, saya tidak meneruskan pelajaran kerana ketiadaan wang. Ibu saya hanya seorang penoreh getah dikebun kepunyaan orang di sebuah kampung pedalaman Sik, Kedah. Semasa petang jikalau musim menanam padi ibu akan pergi mengambil upah menanam padi. Sekiranya musim menuai dia akan mengambil upah memotong padi. Itulah ibu saya. Namun kami tidak pernah kebuluran biarpun ketika itu harga getah hanya 29 sen sekati (bukan kilogram!). Ayah telah kembali ke rahmatullah ketika usia saya 11 tahun iaitu pada tahun 1969.


Tahun 1976 saya belajar menjadi penulis, pemberita dengan mantan Editor Utusan Malaysia En.Ghani Ahmad. Tahun 1977 saya menjadi pelatih di Pusat Latihan Belia PERETAK (kini Institut Kemahiran Belia)mengambil kursus senifoto tahun 1977.


Saya pernah menjadi penoreh getah,merasai peritnya hidup dengan harga getah cuma 29 sen! Tapi harga barang masih murah. Pernah mengambil upah menjadi pekerja kepada usahawan getah sekerap dan susu getah cair. Pernah mencuba mencari bijih secara haram! Pernah menjadi pemberita sambilan. Hanya dengan tulisan tangan, cerpen saya pernah disiarkan dalam Radio Malaysia. Hasilnya saya dapat membeli starika dan mesin taip. Kedua-dua barangan itu masih ada hingga kini dimana starika iru masih boleh digunakan oleh isteri dan anak-anak. Itulah berkat rezeki yang halal.



Pengalaman saya meningkat apabila pada tahun 1979 menjawat jawatan Jurufoto di UKM. Paling menyeronokkan mulai 1 Januari 1997 hingga kini saya merupakan tenaga pengajar sambilan di UKM. Hingga hari ini saya menyimpan banyak kisah duka, luka dan bahagia. Semua kisah saya dan kisah rakan-rakan.


Untuk melihat lebih banyak profil saya sila klik pada tajuk Profil Penuh.




Menerusi ruangan ini saya akan mengemaskinikan dari masa kesemasa mengikut kelapangan masa saya. Justeru, anda akan mendapati kisah ini akan terhenti untuk beberapa waktu. Mohon maaf andainya kisah di bawah akan terhenti untuk jangkamasa yang lama kerana ada waktunya saya tidak mempunyai waktu menulis. Namun yang pasti setiap tulisan akan bersambung.


Perjalanan kehidupan kita sebenarnya jauh. Namun begitu usia kita tidak panjang mana untuk menghadapi kehidupan yang pebuh dengan ranjau dan onak ini. Kita berkemungkinan bersemangat pada satu-satu peringkat, namun tidak dapat dinafikan ada waktunya kita jadi lemah dalam mengharungi gelombang kehidupan ini.


Saya menamakan blogg ini sebagai Dari Sik Ke Bangi kerana Sik menjadikan sejarah hidup saya penuh dengan dugaan. Di sana saya memasang angan-angan. Namun angan-angan itu bukan angan-angan kosong kerana bermula tahun 1979 saya memulakan satu permulaan sejarah yang menarik ketika melapurkan diri di Universiti Kebangsaan Malaysia.


Saya menjawat jawatan Jurugambar dengan gaji hanya RM295!!. Tinggal di Kuala Lumpur dengan gaji sebanyak itu memang azab. Namun waktu itu masih bujang. Tapi cuba bayangkan apabila ibu saya(arwah)bertanya tentang perkahwinan!!! Saya amat teruja. Namun atas dasar tidak mahu menduhaka, saya memberikan alasan masih mahu membahagiakan ibu dengan gaji sebanyak itu!


Itu realitinya sehingga saya berpindah ke kampus UKM Bangi pada tahun 1982. Pada tahun 1985 saya berkahwin. Tapi yang tentunya menjadi sejarah semasa saya berkahwin gaji belum lagi RM1,000. Tapi saya bahagia apabila tahun 1989 saya boleh memandu sebuah kereta dan waktu itu isteri sedang mengandungkan anak pertama.


Bangi, Selangor mengajar erti kenyataan. Sik, sebuah daerah di pedalaman Kedah tempat saya memasang angan-angan. Betulkah angan-angan itu tiada berfaedah? Ah, kata Dr. H.M. Tuah angan-angan itu baik untuk membina kenyataan.


1979

5 November; 9.00 pagi saya tiba di kampus UKM di Bangi mendaftarkan diri sebagai Jurugambar. Selepas itu saya diminta melapurkan diri di kampus UKM Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur. Fikirkan pada mulanya kena kerja di Bangi. Aleh-aleh kena kat Kuala Lumpur. Masih saya ingat saya masuk melapurkan diri dengan Prof.Dr.Jalaini Sukaimi (kini Dekan FST Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai)


Oleh kerana beliau agak sibuk waktu itu saya disuruh berjumpa Prof. Dato Dr Zawawi Ismail (mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak).


Proses melapur diri selesai saya diminta ke makmal Fakulti Sains UKM di Jalan Universiti Petaling Jaya, Selangor (seksen 16).


Menariknya waktu itu barulah saya mengenali Petaling Jaya. Sekali gus saya juga mengenali Bangi, Petaling Jaya, Kuala Lumpur. Kampus utama UKM di Bangi. Pejabat urusan di Jalan Pantai Baru, bertugas di Jalan Universiti Petaling Jaya. Saya menyewa rumah (sebulan hanya RM20 sahaja) bersama rakan-rakan dari Sik di kampung setinggan Jalan Kuching. Nama kampung itu ialah Kampung Batu, tepi Sungai Gombak. Berhampiran Sekolah Seri Puteri. Kabarnya kampung itu telah tiada!


Kami menyewa bertiga. Cek Lah (abang Lah), Kamaluddin (Din Mail) bertugas sebagai Pembantu Luar di RISDA. Sesekali hujung minggu datang Tajuddin adik Cek Lah yang berlajar di UPM. Cek Lah sebenarnya datang ke KL atas sebab adiknya belajar di UPM. Katanya senang jikalau adiknya kekeringan wang.


Pernah satu pagi dia sedang berbincang dengan adiknya (sebaya saya, satu sekolah pun dulu) dia kata wang gaji tauke belum beri. Apabila saya dengar saya tak sampai hati. Langsung saya pinjamkan RM20.Besar tau nilai duit waktu tu jika RM20. Jadi apabila tinggal kat KL baru sedar erti sahabat.


Tinggal kat kampung setinggan ni pun bukan rumah, tapi kami menyewa serambi orang yang namanya Abang Taridi, kerja kat Universiti Malaya. Baik orangnya. Walaupun beliau tuan rumah tapi keluarganya macam keluarga kami. Tambahan wajah isterinya mirip wajah kakak sepupu saya.


Setiap bulan puasa (Ramadhan) kami diberi juadah. Pernah sekali pinggan yang dihantar bersama kueh belum dipulangkan anaknya datang meminta, kata saya kami tak ada kueh nak balas, anak dia kata tak apa mak nak beri kueh lagi. Itulah membuatkan saya teringat hingga kini.


Sewa rumah RM20 sebulan, kongsi tiga orang. Murahkan? Tapi harus ingat, saya pernah berkata waktu tu gaji saya cuma RM295, tanpa apa-apa alaun. Naik bas turun bas pergi kerja. Tapi saya enjoy! Maklumlah saya baru kenal KL. Sebut saja ceruk mana saya tak sampai. Tapi ada juga yang saya tak cekap. Maklumlah KL besarkan? Tapi Insyaalah dengan tugasan sebagai Jurugambar membuatkan saya boleh sampai di mana-mana hotel yang terkenal di KL. Makan free jangan cakap. Sebab tu badan saya boleh jadi bulat (gemuk) macam sekarang.


Harus saya beritahu, kerja yang saya dapat UKM khas buat ibu saya demi mengubah masa depan kami. Justeru, walaupun gaji saya kecil tapi saya "mewah" hingga kini (1979-2007)



1980


Selepas solat Jumaat, seorang rakan datang. Saya panggil dia abang Zali (Razali Jaman). Dia bertanya dalam loghat Kedah "Hang dah makan belum". Bila saya berkata sudah makan sebelum solat Jumaat, dia menghulurkan sehelai kertas telegram. Telegram itu memberitahu bahawa emak saya sakit di Kedah. Tukang hantarnya abang Wahid jiran mak saya. Tanpa membuang masa saya balik ke rumah sewa dan mengemas apa yang patut. Selepas memaklumkan kepada abng Lah yang tinggal serumah, saya ke Pudu Raya. Untuk cepat saya mengambil keputusan naik teksi untuk balik ke utara (Kedah). Teksi terus kesana tiada, tapi teksi untuk ke Ipoh ada. Pemandu teksi mencadangkan saya naik teksi ke Ipoh dan boleh dapatkan teksi ke Butterworth,Penang.


Saya menaiki teksi kira-kira jam 4 petang ke Ipoh dengan tambang RM10. Tiba di Ipoh lebih kurang jam 10 malam. Ketika perjalanan ke utara masih menggunakan jalan lama kerana lebuhraya belum dibina.


Sesampai di Ipoh satu lagi masalah timbul teksi ke Butterworth,Penang tak ada. Namun pihak pemandu teksi yang ada disitu meminta saya bersabar kerana mereka memberikan pengakuan teksi akan ada. Itulah kali pertama saya mengalami satu situasi yang mendebarkan berada ditempat orang. Keadaan ini mengajar saya erti musafir.


Pukul 1 pagi seperti yang janjikan oleh pihak di perhentian teksi, saya dapat juga sebuah teksi untuk perjalanan ke Butterworth, Seberang Prai.


Syukur jam 5 pagi saya selamat sampai Butterworth. Dari situ saya menaiki teksi untuk ke rumah Paksu ke Padang Menora,Tasek Gelugor dengan harapan emak saya ada disana. Jangkaan itu saya buat kerana berdasarkan pejabat pos yang mengirimkan telegram adalah dari Tasek Gelugor. Tapi jangkaan saya meleset apabila saya naik ke rumah Paksu emak tiada.


Setelah saya bertemu Paksu dan Maksu barulah saya ketahui emak saya berada di Kedah. Telegram yang dihantar oleh jiran saya dari Seberang Prai. Hari itu hari Jumaat negeri Kedah bercuti jadi jiran saya menggunakan khidmat telegram di Seberang Prai.


Selepas menjamu sedikit sarapan pagi saya bertolak balik ke Kedah.


Bermula dari sinilah saya memahami erti rindu seorang ibu. Rupanya ibu saya merindui saya. Saya memberitahu abang ipar yang berada di Kluang Johor. Mereka datang. Kami mengambil keputusan untuk membawa emak ke Kluang tinggal dengannya. Selang enam bulan saya membawa emak tinggal dengan saya di Kampung Melayu Batu Caves. Kami menyewa sebuah rumah dengan harga RM75.


1982


Tahun 1982 saya dan warga Fakulti Sains UKM perlu berpindah ke Bangi kerana bangunan baru telah siap. Mulai tahun ini juga sejarah UKM telah tercipta apabila Fakulti Sains berpecah (distrukturkan)kepada empat fakulti. Mulai tahun ini juga wujudnya Fakulti Sains Hayat, Sains Fizik dan Gunaan, Sains Matematik dan Sains Sumber Alam (di kampus Sabah) sehinggalah tertubuhnya Universiti Malaysia Sabah (UMS) Fakulti Sains Sumber Alam "dibawa" balik ke Bangi.


Oleh sebab tempat bekerja akan berpindah ke Bangi, maka saya perlu mencari rumah sewa sekitar Bangi. Mustahil saya hendak berulang alik dari Kuala Lumpur. Jauh. Dengan gaji yang kecil sekitar RM 400 mana mungkin saya berbuat begitu.


Pada satu hari Ahad saya dan Majid (sahabat dari kedah) telah datang ke Kajang mencari rumah sewa. Seluruh pekan Kajang saya dan Majid mencari rumah, namun hampa. Ada tu adalah tapi perlu sewa bilik dengan orang lain. Saya tidak mungkin berbuat begitu.


Sehinggalah pada suatu hari saya terserempak dengan "abang Din". Beliau menegur saya setelah mengecam dari loghat kami berdua ada gaya orang Sik bercakap. Akhirnya kami baru tahu beliau berasal dari Pekan Batu Lima Sik. Abang Din berkahwin dengan Kak Ani orang Kajang. Bertugas dengan Lembaga Letrik Negara (LLN), Kini TNB. Dengan bantuan beliau saya berjaya menyewa rumah di Kampung Datuk Abu Bakar Baginda.


"Sewanya 120 sebulan.' kata Wak Ahmad (tuan rumah Hj. Ahmad bin Karto (sudah arwah) -namanya sudah menentukan dia orang Jawa)


"Tanda jadi Wak nak berapa?"tanya saya.

"Allah senang saja, bagilah berapa yang awak nak bagi...."balas Wak Mad dengan pekat loghat Jawanya.

"20 puluh Wak?"

"Boleh saja.Kalau tak jadi sewa,datang ambil balik....!"

Eh, baik benor Wak ni bisik saya kepada Majid. Majid tersenyum

"Aku rasa rumah ni sesuai sangat dengan Mak Mu" balas Majid.


Ahad depan aku, emak dan Majid datang mencuci rumah Wak Mad. Semasa mencuci rumah datang isteri Wak berbual dengan emak aku. Ahh macam itik bertemu ayam


Apa tidaknya, seorang dengan loghat Kedah masih pekat (mak aku). Sorang bahasa Jawa yang juga pekat. Tapi peliknya masing-masing boleh berkumonikasi dengan berkesan. Kadang kala saya lihat mereka terdiam. Mungkin tak faham istilah.


Bagi saya, Kampung Datuk Abu Bakar Baginda cukup meninggalkan kesan kerana ia mempunyai sejarah tersendiri.


Di sinilah saya mengenali masyarakat Jawa. Pertama kali saya menjamah "Nasi Ambeng" yang asli dibungkus dalam daun pisang.


Tahun 1982 menyaksikan perubahan dalam sejarah UKM apabila Fakulti Sains berpindah ke Bangi setelah distrukturkan menjadi empat fakulti. Fakulti-fakulti terebut ialah, Sains Hayat,Sains Fizik dan Gunaan, Matematik dan Sains Sumber Alam. Fakulti Sains Sumber Alam ditempatkan di UKM Sabah sehinggalah tertubuhnya Universiti Malaysia Sabah (UMS) fakulti tersebut dibawah balik ke Bangi.


Sebagai makluman tahu 1999 sekali lagi berlaku pengstrukturan dan saya akan terangkan dalam bab tahun 1999.


UKM terletak 26 kilometer di selatan Kuala Lumpur. 5 kilometer dari Bandar Kajang. UKM terletak di Bandar Baru Bangi yang pesat membangun dimana terdapat beberapa institute latihan, universiti swasta. Industri ternama. Oleh kerana UKM antara institut pengajian tinggi yang pertama di Bangi, maka kami sebagai staff mengharungi kesusahan pada peringkat awal berada di sini.


Tahun 1982 Bandar Baru Bangi belum membangun lagi. Banyak tanah masih belum diteroka. Hutan sawit, getah menjadi pemandangan biasa. Udaranya nyaman. Malahan sorang Ahli Parlimen di Segamat mencerita kepada saya semasa beliau menuntut di UKM, ada masanya beliau menorah getah untuk mencari wang saku. Pokok getah yang beliau maksudkan ia itu dikawasan Kelab Danau masa kini (kelab gofl UKM).


Sistem pengangkutan? Macam sistem kampung lagi. Cuma ada satu syarikat bas dari Kajang (bas Sum). Jika nak ke KL kena naik satu lagi bas (bas Foh Hup).


Sekarang? Jangan bandingkan lagi dengan 30 tahun dulu lagi! UKM boleh berbangga dengan system pengangkutanya. Siapa tidak tahunkometer yang merintasi kampus UKM? JIkalau anda menaiki tren ini dari KL ke Seremban pasti akan mendengar pengumuman pemandunya yang menyebut “Stesen UKM”! Bas Rapid KL dan teksi-teksi juga menjadi pengangkutan utama di UKM disamping bas-bas UKM sendiri yang memberikan perkhitmatan kepada ribuan warga UKM, khususnya pelajar.


Oleh kerana ketika itu tidak banyak organisasi yang wujud di Bangi, maka kelompok pergaulan kami hanyalah dikalangan staff UKM sahaja. Pensyarah menjadi akrab dengan pekerja-pekerja bawahan. Pelajar menjadi lebih mesra dengan staff. Justeru itu kemesraan terjalan menjadikan kelompok kami agak terhormat.


Akibat keadaan itu menjadikan soal jodoh pun dipengaruhi oleh keadaan itu. Sebab itu ramai dikalangan staff UKM yang bertemu jodoh dengan orang sekeliling. Jangan terkejut ramai dikalangan kami mempunyai isteri,suami dari kalangan staff UKM. Tidak kurang juga yang bertemu jodoh dengan pelajar UKM sendiri!!


Ramai rakan-rakan saya menyewa rumah sekitar Kajang. Di Bandar Kajang memiliki banyak kemudahan. Kedai makan, kedai-kedai untuk barang keperluan mudah diperolehi di Kajang. Tinggal di Kajang memudahkan mereka jikalau hendak ke Kuala Lumpur.

Berbalik kisah tinggal di Kampung Dato Abu Bakar Baginda (Kg DABB). Oleh sebab saya menjaga emak. Maka saya lebih selesa tinggal di kampung. Biarpun banyak kemudahan tiada, tapi saya tidak mahu emak mengalami tekanan perasaan bila tinggal di Bandar.


Saya melibatkan diri dengan kegiatan belia di kampung tersebut. Tambahan tuan rumah, Abu Naim (arwah) merupakan seorang aktivis politik bersama Dato Hj. Kamaruddin maka saya berpeluang menyertai kegiatan belia 4B kampong itu. Malahan saya berpeluang menjadi AJK untuk sama-sama berkhidmat untuk belia-belia di situ. Abu Naim mengetahui saya seorang lepasan Pusat Latihan Belia Peretak, maka saya lebih dipercayai untuk membantu kegiatan persatuan mereka.


Bak kata pepatah, masuk kandang lembu menguak, maka saya mengambil peluang ini untuk terus mengasah bakat yang telah lama dibawa dari Sik. Namun saya berhati-hati tidak mahu nanti dikata orang hendak menunjuk belang di tempat orang.


Minat saya terhadap kerja-kerja kemasyarakatan memanglah tinggi. Namun oleh kerana saya adalah orang mendatang di kampung orang maka saya perlu berhat-hati.


Saya pernah menyaksikan perjumpaan Dato Hj. Suhaimi Kamaruddin sering datang ke rumah Abu Naim. Ketika itu Dato Hj. Suhaimi menjadi Ahli Parlimen Sepang. Setiausaha beliau ialah Cikgu Sharif yang akhirnya menjadi Ahli Yang Behormat Parlimen Sepang.


1983


Tahun 1983 mencipta tersendiri dalam hidup saya kerana pada tahun ini saya bertemu gadis pilihan. Gadis tersebut staff UKM juga. Maklumlah kami (warga kerja UKM) waktu itu berkumpul antara kami sahaja. Organisasi kerajaan, industri belum berkembang seperti sekarang. Tidak hairanlah ramai dikalangan kami bertemu, bercinta dan berkahwin dengan kalangan warga UKM.


Tidak dapat dinafikan faktor bertemu semasa urusan kerjaya membuatkan kami menjalin hubungan "percintaan". Ada waktunya kami tidak menyedari perkara ini terjadi, namun setelah lama berkawan akhirnya perasaan kasih sayang tidak boleh diselindung lagi.


Masih segar dalam ingatan waktu itu saya telah menerima tawaran daripada Universiti Utara Malaysia sebagai Jurufoto. Kononnya ingin balik ke negeri asal (Kedah) namun atas nasihat ibu, saya batalkan tawaran itu.Itulah takdir. Kerana nasihat ibu akhirnya kami bertemu jodoh setelah bertunang pada tahun 1984 dan bernikah tahun 1985.


Namun dalam diari saya tahun 1983, 1984 dan tahun 1985 terlalu bermakna dalam hidup saya.


Jika sebelum ini saya amat berhati-hati dalam soal memilih jodoh kerana amat bimbang sesuai atau tidak dengan emak saya namun dengan takdir Allah saya bernikah juga dan dapat duduk sebumbung dengan emak saya. Memanglah dalam hidup bersuami isteri disamping menjaga seorang ibu amat payah untuk membahagi kasih.


Biarpun kasih kita kepada Ibu dan Isteri amat berbeza, namun anda harus ingat mereka seorang wanita. Kita perlu faham masalah ini dalam mengendalikan sebarang masalah!


Jika berminat untuk terus membaca catatan ini, saya mempelawa anda mengikuti catatan yang akan dipecahkan mengikut tajuk-tajuk kecil. Semoga kisah saya menjadi panduan anda dalamm mengharungi kehidupan seharian.


Hidup ini tidak mudah, kerana kehidupan ini penuh dengan cabaran. Pastinya saya dan akan terus berjuang untuk hidup!


Sila baca tajuk-tajuk di bawah




__________________________________________________________________________________


Sila tempah buku memoir Aku Seorang Jurufoto. Harga RM 40.00 pos RM 6.00 | Sila hubungi di Whatsap 0193393308



30 April 2020

Memasak Sebahagian Tugas Buat Ibu

Mak kerja menoreh getah, kadang balik jam 3 petang sebab nak selesaikan proses buat getah keping. Saya balik sekolah tolong masak. Nak kata pakar tidaklah. Tapi apabila dia balik kelaparan licin juga masakkan saya.
Kadang-kadang ada yang mengusik bila melintas rumah saya (rumah saya laluan utama) "waaa anak dara Mak Long kita masak apa ni...." mau tak kena jerit. Tapi tak adalah sampai bunyi suara anak dara.....😁
Itu antara bakat yang saya ada selain fotografi dan penulisan. Sebab itu masa tu antara kerjaya yang saya terlintas nak buat ialah; Jurufoto, Wartawan dan Tukang Masak
Sebenarnya semua itu saya dapat capai. Misalnya menulis semasa di UKM berpeluang mengasah bakat, semasa di rumah mengasah pisau. Yang saya tak terfikir terjadi ialah mengajar fotografi.
Satu saya nak cerita arwah mak pernah suruh pakai dua pakaian. Satu Kain Batik satu lagi Baju Merah. Saya tak sanggup pakai kain pelikat kecuali baju merah saya tunaikan janji dua tahun sebelum bonda meninggal dunia😥😥

Kisah Kemiskinan Saya

Inilah tapak kampung Sungai Batang.
Kini sudah jadi Tasik Beris
Saya anak tunggal dari perkahwinan ibu dengan ayah. Ayah meninggal ketika usia saya 11 tahun. Saya dan ibu hidup dalam kemiskinan dengan mengambil upah menanam padi, menuai padi.
Kerjaya tetap ibu menoreh getah kebun orang dengan sistem pawah yakni jika dapat 10 kati (dulu belum guna sistem kilo) bahagi dua dengan tuan tanah.
Bagi saya kemiskinan kami tidak heboh kerana makanan cukup walaupun ada waktunya berlaukkan ikan masin (sebab tu agaknya saya kena Batu Karang) dan sayur kampung yang ditanam oleh ibu.
Kehidupan seorang balu saya rasai menerusi pengalaman ibu. Malah ketika harga getah begitu murah iaitu 29 sen sekati kami masih tidak kebuluran. Semasa peristiwa kebuluran di Baling saya dan ibu makan ikan masin kongsi berdua.
Ketika di Sekolah Menengah Sik, saya tidak mempamerkan kemiskinan tetapi tidak pula menonjolkan kemewahan. Malah arwah guru disiplin pernah saya ceritakan ketika berkunjung ke rumahnya setelah bekerja dengan dialog "Cikgu pernah rotan saya kerana rambut panjang. Sebenarnya waktu itu saya tak ada wang nak gunting rambut", Cikgu Abdullah Ahmad A berubah wajah.🤔
Bagi saya kemiskinan itu takdir yang harus diterima oleh seorang anak kerana warisan ibu ayah. Saya tak menyesal. Malah pernah meminta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan tak dapat dengan alasan "Makcik ada kerja dan anak hanya seorang lelaki pula tu". Saya tak pernah berdendam dengan pegawai tersebut.
Walaupun pusat zakat tidak pernah menghulur sesen pun kepada ibu mungkin masa itu pengurusan belum teratur seperti sekarang saya tak pernah berdendam. Malah saya antara penyumbang zakat kini (terpaksa bagitau...).
Lebih berlinang air mata saya setiap kali membuat Dialisis, mesin yang mencuci darah saya adalah sumbangan Pusat Zakat Selangor. Malah ada pesakit yang bersama saya mereka menerima bantuan untuk cuci darah dari pusat zakat.
Kini saya tidak sekaya orang lain tetapi tidak miskin macam 40 tahun dulu. Saya pernah membina legasi sendiri dalam bidang fotografi walaupun hanya makan gaji. Saya sayang bidang ini. Namun sejak tidak sihat saya tinggalkan bidang ini selepas bersara dari UKM. UKM adalah lubuk rezeki saya.
Alhamdulillah saya sudah menunaikan haji hasil rezeki Allah beri dan juga telah dua kali menunaikan umrah. Saya beritahu bukan apa ia sekadar motivasi bagi orang ekonomi setaraf saya. Anda tidak miskin.
Tahun ini saya sudah mendaftar untuk membuat haji badal buat bonda dan ayahanda. Cuma dalam keadaan wabak Covid-19 mungkin haji badal ini ditunda ke tahun depan.😥
Kisah saya ialah usah kutuk pusat zakat jika ada sedikit kelemahan. Usah dikacau pada orang yang membuat sumbangan. Jika kita cemburu, tirulah gayanya tambahan di bulan Ramadan ini.👍

08 November 2017

Perjalanan malam yang lama

Pada tahun 1980 ibu saya jatuh sakit ketika baru 2 bulan bekerja di UKM. Kerana nak cepat sampai ke Kedah, saya mengambil teksi dari KL ke Ipoh. Jam 1 pagi dari Ipoh ke utara. Masa tu lebuhraya Utara Selatan belum ada. Pastinya jalan lama adalah laluan utama ketika itu. Sampai di Perak penumpang terakhir turun. Tinggallah saya seorang bersama pemandu teksi dalam kegelapan pagi sekitar jam 2 hingga 5 pagi.........

Awal Januari 1980:

2.00 petang: Razali Jaman (abang) telah memberi sepucuk Telegram yang berbunyi "Ibu saudara sakit. Balik segera". Tertera cop Jabatan Telekom Pulau Pinang.

3.00 petang: Saya mengemas kain baju di rumah setinggan Kampung Kolam Air Kuala Lumpur. Saya meberitahu dengan ringkas kepada Cek Lah bahawa harus balik Kedah petang itu juga.
3.30 petang: Sesampai di perhentian teksi Pudu Raya saya cuba berunding untuk balik ke uata. Namun tiada teksi perjalanan terus. Atas cadangan pemandu-pemandu teksi kat situ saya mengambil teksi ke Ipoh. Tambang dah lupa, tapi masih murah. Namun dengan gaji yang masih kecil waktu tu teksi agak mahal baut saya.

Kuala Lumpur (KL) jem waktu itu. Maklumlah untuk keluar dari KL perlu melalui jalan Ipoh. Jalan Kuching belum ada lagi jika tak silap saya. Menyusuri Jalan Ipoh saya melalui beberapa bandar dan pekan. Antaranya Rawang, Kuala Kubuh Bahru, Tanjung Malim dan sebagainya.

Usia 21 tahun masih muda. Usia 21 tahun gaji kecil, gaji belum cukup untuk naik teksi. Namun kerana desakan kerana ibu sedang sakit maka mahu tak mahu kena balik juga. 

Kalau ada yang bertanya kena saya perlu naik teksi....jawabnya desakan untuk melihat ibu yang sedang sakit wang dan apa saja tidak saya fikirkan lagi. Nak tunggu bas jam 9 atau 10 malam baru ada. Ibu wajib saya lihat dengan segera nun jauh di 400 kilometer dari KL.

Sesampai di Ipoh, saya mencari teksi. Ketika itu jam sekitar 1 pagi. Oh, jiwa bertambah kacau. Ipoh tempat orang. Tiada saudara mara di situ. Kepala bercelaru. Akhirnya saya mengambil keputusan mengisap rokok Gudang Garam Made In Indonesia. Mujur tak hisap ganja!

Syukur sekitar jam 2 pagi saya dapat teksi untuk ke Butterworth Penang. Harga tak ingat. Tapi masih mahal bagi seorang Jurufoto UKM bergaji $295 sebulan. Pemandu teksi seorang lelaki berbangsa Cina dalam lingkungan usia 50an.

Semua penumpang teksi itu berbangsa Cina. Ahhh saya lupakan bangsa. Masa tu yang penting ibu perlu diziarah segera. Sedangkan dalam kepala terfikir jangan Allah menjemput ke pangkuan-Nya sudahlah. Saya berdoa. Ketika di dalam teksi pemandu dan penumpang teksi berbual rancak dalam bahasa ibunda mereka. Kadang-kadang terfikir kalau saya di apa-apakan oleh mereka habislah saya. Namun saya berfikir positif, ah kami kan orang Malaysia.....

Rupa-rupanya teksi tersebut tidak membawa penumpang semuanya ke Butterworth. Penumpang terakhir saya tak ingat turun kat mana tetapi saya yakin sekitar Taiping. Selepas itu tinggallah saya seorang sahaja yang dibawa oleh teksi itu hingga ke perhentian teksi Butterworth.

Pemuda Cina yang turun diTaiping mempelawa saya duduk kat bahagian depan sebelah pemandu. Saya enggan kerana memikirkan mata mengantuk dan jika duduk di belakang lebih selesa. Tinggallah saya seorang bersama pemandu teksi.

Masa tu muka saya cengkong. Badan kurus. Rambut sedikit panjang.Ada gaya penagih dadah. Saya dapat merasakan pemandu teksi itu cuak dengan saya yang duduk kat belakang. Suaranya agak bergegar bila melayan saya bersembang. Setelah saya dapat merasai pemandu teksi ini macam curiga, saya memilih topik yang boleh meyakinkan beliau. Akhirnya pemandu tu tenteram apabila saya memberitahu balik kampung nak lihat ibu yang sedang sakit.

Sekitar jam 5.00 pagi saya tiba di perhentian teksi Butterworth. Pemandu teksi itu dengan gembira membantu saya untuk mendapatkan sebuah teksi untuk ke rumah Paksu saya di Kampung Jarak. Nampak wajah pemandu teksi itu seperti lega selepas selamat tiba di  perhentian teksi Butterworth.
Saya menyambung dengan teksi ketiga untuk ke rumah Paksu saya, adik ibu saya.

Perjalanan balik utara jadi lebih 12 jam. Jika nak ikutkan kalau balik dengan bas pun boleh. Cuma atas desakan perasaan maka perjalanan dengan teksi menjadi pilihan saya. Bayangkan seksanya perjalanan ketika itu tanpa lebuhraya. Jika sekarangdalam 5 jam sudah boleh sampai ke utara tanahair.

Saya bersyukur. Ibu selamat dan dapat saya menjaganya selepas itu kerana membawanya datang ke KL dan kemudian ke Bangi. Ibu meninggal dunia pada tahun 1990 di Kampung Datuk Abu Bakar Baginda.

Dari Daerah Permai Ke Lembah Rezeki

  Tahun 1968 ayah membawa saya, emak merantau ke Sungai Batang, Sik. Sebagai kanak-kanak lelaki baru berusia 10 tahun saya tidak mengerti ap...