Langkau ke kandungan utama

Kisah Kemiskinan Saya

Inilah tapak kampung Sungai Batang.
Kini sudah jadi Tasik Beris
Saya anak tunggal dari perkahwinan ibu dengan ayah. Ayah meninggal ketika usia saya 11 tahun. Saya dan ibu hidup dalam kemiskinan dengan mengambil upah menanam padi, menuai padi.
Kerjaya tetap ibu menoreh getah kebun orang dengan sistem pawah yakni jika dapat 10 kati (dulu belum guna sistem kilo) bahagi dua dengan tuan tanah.
Bagi saya kemiskinan kami tidak heboh kerana makanan cukup walaupun ada waktunya berlaukkan ikan masin (sebab tu agaknya saya kena Batu Karang) dan sayur kampung yang ditanam oleh ibu.
Kehidupan seorang balu saya rasai menerusi pengalaman ibu. Malah ketika harga getah begitu murah iaitu 29 sen sekati kami masih tidak kebuluran. Semasa peristiwa kebuluran di Baling saya dan ibu makan ikan masin kongsi berdua.
Ketika di Sekolah Menengah Sik, saya tidak mempamerkan kemiskinan tetapi tidak pula menonjolkan kemewahan. Malah arwah guru disiplin pernah saya ceritakan ketika berkunjung ke rumahnya setelah bekerja dengan dialog "Cikgu pernah rotan saya kerana rambut panjang. Sebenarnya waktu itu saya tak ada wang nak gunting rambut", Cikgu Abdullah Ahmad A berubah wajah.🤔
Bagi saya kemiskinan itu takdir yang harus diterima oleh seorang anak kerana warisan ibu ayah. Saya tak menyesal. Malah pernah meminta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan tak dapat dengan alasan "Makcik ada kerja dan anak hanya seorang lelaki pula tu". Saya tak pernah berdendam dengan pegawai tersebut.
Walaupun pusat zakat tidak pernah menghulur sesen pun kepada ibu mungkin masa itu pengurusan belum teratur seperti sekarang saya tak pernah berdendam. Malah saya antara penyumbang zakat kini (terpaksa bagitau...).
Lebih berlinang air mata saya setiap kali membuat Dialisis, mesin yang mencuci darah saya adalah sumbangan Pusat Zakat Selangor. Malah ada pesakit yang bersama saya mereka menerima bantuan untuk cuci darah dari pusat zakat.
Kini saya tidak sekaya orang lain tetapi tidak miskin macam 40 tahun dulu. Saya pernah membina legasi sendiri dalam bidang fotografi walaupun hanya makan gaji. Saya sayang bidang ini. Namun sejak tidak sihat saya tinggalkan bidang ini selepas bersara dari UKM. UKM adalah lubuk rezeki saya.
Alhamdulillah saya sudah menunaikan haji hasil rezeki Allah beri dan juga telah dua kali menunaikan umrah. Saya beritahu bukan apa ia sekadar motivasi bagi orang ekonomi setaraf saya. Anda tidak miskin.
Tahun ini saya sudah mendaftar untuk membuat haji badal buat bonda dan ayahanda. Cuma dalam keadaan wabak Covid-19 mungkin haji badal ini ditunda ke tahun depan.😥
Kisah saya ialah usah kutuk pusat zakat jika ada sedikit kelemahan. Usah dikacau pada orang yang membuat sumbangan. Jika kita cemburu, tirulah gayanya tambahan di bulan Ramadan ini.👍

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sik dan Bahasanya.

Kali pertama membawa balik puteri-puteri saya balik Sik, puteri sulong membuat komen begini; "ayah kenapa Pak Haji Wahid bercakap tak macam sepupu ayah di Penang (Permatang Pauh)". Saya tersenyum kerana puteri sulong saya sudah mula merasa kelainan ketika berada di rumah abang angkat saya Haji Wahid Ahmad (Wahid Cu Mad). Anda boleh bergaul dengan mereka dan belajar memahami perlahan-lahan. Orang Sik dan Baling bila bercakap menggunakan dialek yang berlainan daripada orang Kedah Hilir. Kata saya. "Kedah Hilir?", Atiqah masih bingung. "Kedah Hilir merangkumi Sungai Petani, Alor Setar, Yan, Kulim dan sebagainya.  "Kedah Hulu merangkumi Sik, Baling, Kuala Nerang, Pendang", sambung saya. Kedah Hulu bila mereka bercakap menggunakan bahasa yang mirip orang Kelantan, tetapi boleh dibezakan kalau kita dengar secara cermat. Sambung saya kepada puteri-puteri saya. Kata saya lagi, " Kalau Kedah Hulu becakap bunyi begini.....Mu nak G mana? Tapi Kalau

Azabnya Bersunat

Adik sudah bersunat? Kalau adik seorang yang berani maka kena baca catatan ini. Jika takut kerana ngeri disebut bersunat saya nasihat jangan membacanya. Namun jika nak menjadi orang yang berani maka adik wajib memaksakan diri untuk membaca catatan ini. Adik-adik yang bersunat cara moden tidak mengalami pengalaman seumpama ini kerana kaedah bersunat saya cara tradisional yang dilakukan pada tahun 1969. Kawan sebaya saya sudah bersunat. Berjalan pakai kain pelekat tapi kena angkat sikit kat bahagian depan semasa tidur atau berjalan. Berjalan mengengkang dan harus berhati-hati kerana kuatir tersepak batu. Tapi bila mereka terjumpa saya maka sudah pasti saya kena ejek sebab kononnya saya takut nak jumpa dengan Tok Mudim . Mereka menakutkan saya dengan mengatakan pisau Tok Mudim besar, tumpul. Kononnya ada yang tidak putus semasa kerja-kerja bersunat dilakukan! Wau berpeluh dibuatnya apabila mendengar kisah mereka. Satu pihak lagi menaikkan semangat saya pula. Jika tidak bersunat kau bukan

Dari Daerah Permai Ke Lembah Rezeki

  Tahun 1968 ayah membawa saya, emak merantau ke Sungai Batang, Sik. Sebagai kanak-kanak lelaki baru berusia 10 tahun saya tidak mengerti apa-apa tentang kehidupan orang dewasa. Suka atau tidak, saya hanya akur dengan penghijrahan itu. Maka bermula tahun 1968 saya menjadi sebahagian penghuni sebuah kampung di pedalaman Kedah. Pekan Sik sebelum dibangunkan - 7 Jun 2002. Foto oleh Raai Osman Kampung ini terletak dipinggir sebuah bukit yang dinamakan Bukit Besar yang diceritakan bersempadan dengan Negara Thailand. Waktu pengganas komunis masih menjadi musuh utama negara. Maka tidak hairanlah saban malam terdengar bunyi tembakan motar oleh tentera kita menghalau musuh-musuh. Justeru, bunyi kereta kebal askar-askar sudah menjadi perkara yang amat lumrah sejak menjadi warga Kampung Sungai Batang. Di mana terletaknya Kampung Sungai Batang anda akan perolehi maklumat setelah mengikuti catatan sepenuhnya. Kampung ini terlalu istimewa buat buat saya walaupun bukan kampung asal tempat tumpah dara